Tuesday, April 13, 2021

Sepanjang di penjara, saya dapat 160 kali khatam al-Quran..

 

Awie (kiri) berbual bersama jemaah surau Kampung Al Falah selepas menunaikan solat sunat tarawih malam tadi. - Foto AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Bekas ahli Al-Maunah teruja sambut Ramadan

HULU TERENGGANU: "Saya bersyukur dapat menyambut Ramadan bersama keluarga, selepas 20 tahun menjalani ibadah puasa di penjara," kata Awie, 50, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, di sini, hari ini.

Awie berkata, dia bukan sahaja boleh berjemaah malah diberi kepercayaan dan tugas sebagai bilal di Surau Al Falah, Kampung Bukit Tok Bat sepanjang Ramadan.

"Alhamdulillah, kedatangan Ramadan kali ini amat bermakna bagi saya dan paling gembira kerana dapat menunaikan solat sunat taraweh bersama penduduk kampung.

"20 tahun saya menjalani hukuman penjara dan sepanjang Ramadan hanya menunaikan solat sunat tarawih berseorangan di bilik pengasingan.

"Ramadan tahun lalu saya berbuka puasa, bersahur dan menunaikan solat sunat tarawih di penjara tetapi siapa sangka pada tahun ini saya menjalani semua ibadah itu disamping keluarga," katanya yang sudah bertunang dengan seorang gadis dari Kampung Sekayu sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, menjalani ibadah puasa di penjara dan di rumah banyak bezanya.

"Saya mempunyai banyak masa terluang untuk membaca al-Quran dan berzikir dan menu berbuka puasa paling istimewa di Penjara Marang ialah gulai ayam. Sepanjang berada dalam penjara, saya dapat 160 kali khatam al-Quran tetapi sekarang masa perlu dibahagikan dengan seimbang mengikut tuntutan hidup," katanya.

Awie yang bekerja sebagai tukang kebun di ladang durian milik rakannya di Bukit Diman sejak akhir tahun lalu, juga sedang menyimpan gajinya untuk majlis perkahwinan pada Jun ini.

"Saya bersyukur kerana perjalanan hidup saya selepas dibebaskan daripada penjara dipermudahkan. Sebelum ini berjaya memperoleh semua lesen memandu kenderaan dan sekarang sudah bertunang serta bakal mengakhiri zaman bujang tidak lama lagi," katanya.

Media sebelum melaporkan anak kelahiran Kuala Berang itu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Maunah pada 2000.

Bagaimanapun pada 17 Ogos tahun lalu, Awie mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibenarkan bebas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails