Friday, April 02, 2021

Pelaksanaan spesifikasi diesel Euro 5 mulai hari ini -Tuan Ibrahm.

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menetapkan pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 bagi menggantikan minyak diesel Euro 2M bermula hari ini, kata Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.

Tambahnya, tarikh asal pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 adalah pada 1 September 2020.

Namun, jelas beliau atas keprihatinan kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun 2020 telah bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April 2021 susulan kekangan di pihak industri dan pandemik Covid-19Beliau berkata, pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha Kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 (Clean Air Action Plan).

“Kualiti minyak adalah penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap/gas pencemar daripada ekzos.

“Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ini, jelasnya kerana Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails