Tuesday, March 30, 2021

MV Ever Given berjaya diapungkan, Terusan Suez kembali dibuka

 

MV Ever Given ‘diiring dengan selamat ke Great Bitter Lake’ oleh pihak berkuasa. - Foto AFP

ISMAILIA: MV Ever Given berjaya diapungkan semula dan Terusan Suez dibuka kembali untuk lalu lintas semalam.

Ia sekali gus memberi kelegaan selepas hampir seminggu kapal kontena besar itu tersangkut dan menyekat nadi utama perdagangan global berkenaan.

Krew kapal tunda membunyikan hon bagi meraikan kejayaan itu selepas kapal besar milik Jepun sepanjang lebih empat padang bola itu dilepaskan sepenuhnya dari tebing pasir Suez.

Harga minyak dunia reda dengan berita pembukaan semula jalan air yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah itu, yang menjadi laluan kepada lebih 10 peratus dagangan dunia.

Pegawai Penguasa Terusan Suez (SCA), Khaled Taha memberitahu wartawan di bandar Ismailia, lalu lintas maritim bergerak semula selepas 'pengapungan semula berjaya'.

SCA bagaimanapun mengingatkan, ia akan mengambil masa lebih tiga hari untuk mengatasi kesesakan lalu lintas kapal yang tersekat di hujung utara dan selatan terusan berkenaan.

Dalam beberapa jam sebelum kapal itu beralih, kira-kira 425 kapal tersekat di laluan itu.

Penyedia perkhidmatan terusan, Leth Agencies, dalam ciapannya berkata, MV Ever Given 'diiring dengan selamat ke Great Bitter Lake' oleh pihak berkuasa.

Katanya, 43 kapal dijangka meninggalkan kawasan transit menuju selatan.

Syarikat data maritim, Lloyd's List, berkata halangan di terusan itu menjejaskan kira-kira AS$9.6 bilion (RM39.75 bilion) nilai kargo setiap hari antara Asia dan Eropah. - AFP


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails