Friday, April 02, 2021

Islam &politik X boleh dipisahkan. Kuat tasawuf X tinggalkan perjuangan Islam..

 

Syeikh Abdul Samad mati syahid menentang penjajah -Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Apakah itu Islam? Apakah itu iman? Apakah itu ihsan?

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, itulah tiga soalan daripada Malaikat Jibril alaihissalam saat bersemuka dengan Nabi Muhammad SAW dalam suatu majlis.

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga perkara itu berkait dengan aqidah, syariah, dan akhlak.

“Tiga perkara ini juga merangkumi asas Islam. Sekiranya tidak cukup salah satu, maka tempanglah Islamnya,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Beliau turut memetik kata-kata Imam Malik RH berkaitan dengan tasawuf: “Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqah tanpa mempelajari ilmu tasawuf, maka dia menjadi fasiq. Sesiapa yang mempelajari ilmu tasawuf tanpa mempelajari ilmu fiqah, maka dia menjadi kafir zindiq”.

“Marilah kita semua mengambil contoh daripada Syeikh Abdul Samad al-Falembani yang merupakan penulis kitab tasawuf yang menjadi rujukan ramai iaitu kitab Hidayah al-Salikin,” katanya lagi.

Beliau berkata Syeikh Abdul Samad al-Falembani merupakan salah seorang ulamak yang mati syahid dengan berjihad menentang penjajah di Pattani.

“Begitulah ulamak zaman dahulu; kuat bertasawuf, tetapi pada masa yang sama tidak meninggalkan perjuangan Islam,” jelas beliau lagi.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, perjuangan menegakkan sebuah pemerintahan Islam adalah suatu kewajipan yang diwarisi oleh para anbia’ alaihimussolatuwassalam.

Beliau menegaskan bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan daripada diri seorang Muslim yang beriman kepada agama Islam yang menyeluruh.

Tuan Guru memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 2 yang bermaksud: 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukumnya; dan janganlah kalian menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kalian yang terang nyata”. 

– HARAKAHDAILY 31/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails