Sunday, March 28, 2021

Muslimat Canggih, pengendali dron pertanian

 

MEMASTIKAN semua proses persediaan lancar sebelum menerbangkan dron untuk penyemburan racun di bendang.

KEHADIRAN Nur Syazwani Mohamed Rizal, 26, di kawasan bendang sekitar Tanjung Karang dan Sungai Besar, Selangor, seawal jam 7 pagi untuk mengendalikan dron bagi membantu pesawah menyembur racun kepada tanaman sememangnya mencuri tumpuan.

Apa tidaknya, bekas jurutera sebuah syarikat swasta itu antara pengendali dron pertanian wanita di dalam bidang yang sememangnya dimonopoli kaum lelaki di negara ini.

Meskipun pada awalnya ramai yang ragu dengan kemampuan Nur Syazwani namun berkat komitmen dan kemahiran tinggi yang ditunjukkan, dia kini menjadi pilihan utama pesawah di kawasan berkenaan.

Kata Nursyazwani, dia tidak menyesal beralih kepada karier itu kerana masa depan bidang berkenaan sememangnya cerah.

"Berdepan Revolusi Industri (IR4.0), sektor pertanian juga perlu bergerak seiring dengan penggunaan teknologi, salah satunya adalah penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam industri penanaman padi. Ia bagi menggantikan kaedah penyemburan racun rumpai dan serangga serta baja secara manual.

"Kaedah ini mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja malah terbukti membantu petani menjimatkan kos dan masa,

" katanya ketika ditemui Harian Metro di Sungai Besar, baru-baru ini.

Mengimbau sejarah awal pembabitannya dalam bidang berkenaan, Nur Syazwani berkata, semuanya bermula selepas dia berhenti kerja akhir September lalu dan pulang ke kampung untuk menjaga bapanya yang ketika itu kurang sihat.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, bapanya, Mohamed Rizal Muhd Tayab yang juga pengendali kursus dan latihan dron pertanian kemudian mengajaknya untuk menceburi bidang berkenaan memandangkan dia memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan.

"Namun, laluannya bukan mudah kerana saya perlu mengikuti pelbagai kursus teknikal (kendalian My Drone Services) dan Kursus Asas Pengendali Dron serta Kursus Agriculture Drone Pilot (ADP) berkaitan cara pengendalian, pemasangan, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan cara menerbangkan dron dengan selamat anjuran Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB).

"Selain kemahiran dan Teknik penerbangan dron, saya juga perlu belajar mengawal ketinggian, kelajuan, lewar jalur semburan (Swath) dron dan masa yang sesuai untuk menyembur racun supaya usaha menghapuskan rumpai, penyakit seperti Bacterial Leaf Blight (BLB) pada padi serta serangan serangga seperti ulat batang, lebih berkesan," katanya.

Selain memberi perkhidmatan semburan baja dan racun pada pesawah, Nur Syazwani juga turut melebarkan perkhidmatan semburan baja dan racun kepada pengusaha ladang kelapa sawit, ladang pisang, nanas, jagung dan tanaman lain termasuk tanaman sistem fertigasi.

Begitupun, anak kedua daripada empat beradik itu bukanlah calang-calang pengendali dron kerana dia juga mampu membaikinya dan memprogramkan semula dron yang rosak menyebabkan ramai pengendali dron (lelaki) menghantar dron kepadanya untuk diperbaiki.

Nur Syazwani menerusi syarikatnya, ADP Sytech Sdn Bhd kini menjadi ejen bertauliah My Drone Services di kawasan berkenaan dan dia akan memberi khidmat nasihat teknikal terlebih dahulu pada orang ramai yang berminat membeli dron pertanian.

Katanya, tempahan daripada pesawah untuk menyembur baja dan racun tanaman khususnya padi serta tanaman lain juga kian meningkat menyebabkan dia tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan berkenaan.

"Disebabkan itu, saya turut mengajak adik, Nur Syazwana, 24, graduan ijazah Sarjana Muda Sains Matematik Pengkomputeran, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kami bergabung tenaga untuk memenuhi permintaan pesawah untuk menyembur racun tanaman padi mereka.

"Selain itu, dua lagi rakan kami, Nur Syahira Azlyn Azman, 24, graduan Sains Marin dan Teknologi, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) serta Norfara Aiza Hamzah, 26, graduan kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut berhenti kerja dan menyertai syarikat ini.

NUR SYAZWANA juga mengikut jejak langkah kakaknya.

"Nur Syahira dan Norfara masih dalam latihan dan apabila sudah mahir kelak, mereka akan bergerak bersama dalam satu pasukan pengendali dron pertanian (wanita) bagi memenuhi tempahan perkhidmatan meracun serta membaja menggunakan dron yang semakin meningkat," katanya.

Nur Syazwani berkata, waktu kerja mereka setiap hari adalah dari jam 6.30 pagi hingga 11 pagi dan selepas Asar hingga tengah malam kerana malam adalah waktu aktif serangga perosak selain dron boleh bekerja pada sebelah malam.

Katanya, untuk satu lot padi seluas kira-kira 1.2 hektar, masa yang diperlukan untuk dron menyembur racun dan baja hanya sekitar 20 hingga 30 minit sahaja termasuk persediaan membancuh racun, memasang dron dan sebagainya.

"Jika tiada masalah dan bagi menjaga kualiti perkhidmatan semburan kami, sebelah pagi kami boleh menyiapkan sebanyak enam lot, tiga lot pada sebelah petang dan tiga hingga empat lot lagi pada sebelah malam.

"Kami pernah menyiapkan 13 tempahan pada satu hari dan buat masa ini, perkhidmatan yang disediakan hanyalah pada sebelah siang serta sebelah malam pula hanya atas permintaan memandangkan kami semua wanita," katanya yang memiliki beberapa dron cunton termasuk jenis DJI kapasiti 16 liter yang berharga antara RM35,000 hingga RM65,000 sebuah .

Menyentuh soal cabaran menyertai bidang itu, Nur Syazwani berkata, persepsi masyarakat yang meragui kemampuan wanita sepertinya antara kekangan yang dihadapi.

Selain itu, semua pengendali dron juga berdepan masalah jika hujan berpanjangan yang menghalang proses penyemburan dilakukan.

Nur Syahira Azlyn dan Norfara Aiza untuk menjadi peneraju bidang pengemudian dron pertanian wanita di negara ini.

"Namun, alah bisa tegal biasa. Bagi saya tidak kira anda lelaki atau perempuan, jika ada minat dan usaha, insya-Allah akan berjaya.

"Saya berterima kasih kepada ibu dan bapa yang menjadi tulang belakang selama ini, tanpa sokongan mereka, semua itu mustahil untuk dicapai," katanya yang turut memberi tunjuk ajar dalam kursus pengendalian dron kepada masyarakat sekitar Sungai Besar hingga Kuala Selangor yang berminat.

Berkat komitmen dan kemahiran yang dimiliki juga membolehkan Nur Syazwani dan bapanya dijemput mengendalikan pelbagai kursus pengendalian dron anjuran agensi awam serta swasta di seluruh negara untuk menarik lebih ramai belia menceburkan diri dalam teknologi dron.

Nur Syazwani juga bercita-cita untuk menerokai bidang lain yang berasaskan perkhidmatan menggunakan teknologi dron. (MyMetro)

IHtv
21 subscribers

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails