Sunday, March 28, 2021

P/Agung UMNO 2020 jadi tumpuan. Seorang digantung keahlian..

 Ahmad Zahid bersama Datuk Seri Najib Razak hadir di WTC KL, semalam. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Hari ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2020, satu perhimpunan penting buat parti yang merupakan antara terbesar dan tertua di negara ini, dalam menentukan hala tujunya menghadapi cabaran politik kini serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa yang dijadualkan pada jam 7.30 pagi.

Seperti kelaziman, acara menaikkan bendera dilakukan di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dan akan disusuli pemeriksaan barisan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyaksikan ia buat kali pertama berlangsung dalam suasana norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

Selepas itu, perasmian persidangan oleh Ahmad Zahid bakal berlangsung pada jam 9 pagi di Dewan Merdeka, dengan menghimpunkan perwakilan daripada 190 bahagian di seluruh negara kecuali Sarawak secara hibrid.

Ia kemudian diikuti sesi perbahasan dan diakhiri dengan sesi penggulungan.

Acara bagi Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan selama dua hari bermula semalam, selepas setahun ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Semalam, berlangsung perasmian serentak dan persidangan tiga sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri yang menyaksikan pemantauan ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Perhimpunan edisi kali ini juga berjalan dalam keadaan sederhana tanpa sambutan besar-besaran seperti lazim dan kibaran bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' di sepanjang jalan utama di Kuala Lumpur seperti tahun-tahun sebelumnya. – BERNAMA

Seorang sah digantung keahlian 6 tahun - SUA UMNO

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat, malam tadi, mengesahkan keputusan Jawatankuasa Disiplin untuk menggantung keahlian seorang ahli parti selama enam tahun.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, ketika memaklumkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti ahli terbabit mahupun jawatan yang disandangnya.

"Saya tidak mahu menyebut namanya kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan itu yang sudah dihantar, sebentar tadi (malam tadi)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, digantung keahlian daripada parti itu.

Ditanya mengenai punca individu berkenaan digantung keahlian, Ahmad berkata, semua perkara terbabit ada dinyatakan dalam surat berkaitan.

"Segala perlembagaan yang mana dilanggar dan sebagainya itu ada dalam surat berkaitan.

"Justeru, biarlah individu berkaitan menerima surat itu. Saya kira ia lebih elok jika beliau menerima surat itu. Saya tidak sebut ahli MKT ya," katanya.

Sementara itu berhubung perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada hari ini pula, Ahmad berkata, seramai 1,100 atau 42 peratus daripada 2,668 perwakilan akan menghadirinya di tiga dewan utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.

Beliau berkata, Presiden dan Timbalan Presiden PAS, MIC serta MCA dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Setiausaha Agung PBRS, telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan itu. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails