Sunday, January 10, 2021

Tertangguh pada 2018, berikutan kerajaan baharu PH...

 

Gambar fail) Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024. - Foto: BERNAMA

Subkontraktor projek LRT3 lega bayaran tertangguh mula dibayar

KUALA LUMPUR: Syarikat subkontraktor pembinaan milik Bumiputera yang terbabit dalam projek Laluan Transit Ringan 3 (LRT3) sudah mula menerima bayaran tertangguh daripada kerja pembinaan projek infrastruktur mega berkenaan Jumaat lalu.

Separuh daripada jumlah bayaran nilai kontrak tertangguh bagi Julai hingga Oktober yang diminta telah dilunaskan oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), sebelum diagihkan kontraktor turnkey, MRCB-George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) kepada subkontraktor projek LRT3.

Difahamkan, Prasarana membuat pembayaran untuk kerja-kerja Julai dan Ogos, namun begitu, subkontraktor menerima bayaran daripada MRCBGK untuk kerja-kerja sehingga September 2020.

Mengulas mengenai bayaran yang diterima, Ketua Pegawai Eksekutif Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC), Datuk Abdul Aziz Mohamad, berkata syarikatnya sudah menerima bayaran untuk tempoh dua bulan iaitu bagi Ogos dan September pada Jumaat lalu.

Katanya, pembayaran kerja pembinaan tertangguh yang dibuat melalui MRCBGK memberi kelegaan dan membantu aliran tunai syarikat bagi melunaskan bayaran kepada subkontraktor lain, pembekal dan gaji pekerja.

"Daripada tiga bulan bayaran tertangguh, TRC sudah menerima bayaran bagi Ogos dan September pada 8 Januari lalu. Masih ada satu bulan lagi bayaran tertangguh iaitu Oktober," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Abdul Aziz menjelaskan, isu bayaran tertangguh sudah dua kali berlaku di mana kali pertama adalah selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, berikutan kerajaan baharu pada masa itu sedang mengkaji semula kaedah pelaksanaan projek LRT3.

"Saya amat berharap pembayaran yang tertangguh dan yang akan datang dapat dijelaskan mengikut jadual sebagaimana ditetapkan dalam kontrak. Ia penting untuk kami dalam menguruskan kerja kontrak dan membantu aliran tunai syarikat," katanya

.Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gabungan AQRS Bhd (AQRS), Datuk Azizan Jaafar, berkata ia satu kelegaan kepada syarikat kerana sudah menerima separuh daripada bayaran tertangguh daripada MRCBGK.

"Apa yang penting kepada kami adalah bayaran separuh daripada jumlah tertangguh keseluruhan lebih RM700 juta sudah diterima Jumaat lalu. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana membantu mempercepatkan bayaran ini," katanya.

Azizan berkata, AQRS juga berharap Prasarana dapat melunaskan separuh lagi bayaran tertunggak kepada MRCBGK secepat mungkin, bagi membolehkan kontraktor turnkey itu menjelaskan bayaran kerja-kerja kontrak kepada subkontraktor.

"Harap separuh dapat baki bayaran diterima hujung bulan memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir bagi membolehkan kakitangan berkaitan membuat persiapan bagi meraikan perayaan penting itu," katanya.

Minggu lalu, BH melaporkan subkontraktor khususnya syarikat pembinaan milik Bumiputera yang terbabit dalam projek LRT3 terpaksa menggunakan dana dalaman dan pinjaman bank untuk membiayai kerja pembinaan projek infrastruktur mega berkenaan.

Ini selepas pembayaran yang sepatutnya diterima, belum dilunaskan oleh Prasarana.

Disebabkan isu pembayaran tertangguh itu, syarikat subkontraktor projek LRT3 terpaksa memikirkan sumber kewangan lain untuk membiayai kerja-kerja pembinaan projek infrastruktur berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan.

Kelewatan bayaran oleh Prasarana kepada MRCBGK memberi kesan besar kepada syarikat subkontraktor Bumiputera kerana ia memerlukan sumber kewangan yang besar bagi membiayai kerja-kerja LRT3 dan gaji pekerja.

Sebagai contoh, AQRS memiliki hampir 400 pekerja bagi melaksanakan projek berkenaan, sekali gus memberi kesukaran kepada syarikat untuk meneruskan kelangsungan projek dan gaji pekerja.

Baru-baru ini, Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa tiada penangguhan bayaran kepada MRCBGK.

Namun dakwaan itu dikatakan tidak tepat dan sesuatu yang tidak boleh diterima subkontraktor projek LRT3 dan berkemungkinan ia tidak berlandaskan fakta yang betul serta tidak menggambarkan perkara sebenar dihadapi Kontraktor Pakej Kerja (WPC).

Difahamkan, pembayaran yang dikatakan Prasarana adalah untuk kerja-kerja berakhir Jun 2020, manakala bagi kerja-kerja bagi Julai hingga Oktober 2020 belum dilunaskan ketika itu, meskipun pembayaran yanHg disahkan oleh perunding bebas dilantik Prasarana iaitu KL Prima Consult Sdn Bhd bagi Julai hingga Oktober sudah ada.

Menurut MRCBGK dalam satu kenyataan sebelum ini, setakat Oktober 2020, jumlah pembayaran yang disahkan adalah RM723.89 juta, sementara pembayaran untuk November 2020 masih belum disahkan.

Syarikat itu berkata, MRCBGK juga telah mendahulukan lebih RM200 juta untuk mengekalkan projek LRT3.


Hibur Hibur Sikit. Pilihan..
Album 4

2 comments:

Anonymous said...

Pak Asim...bayaran tertangguh ni sebab Tajudin Pasir Salak arahkan. Bukan sejak 2018.....

Sampaikan walau satu ayat....tapi cerita tak betul.

Anonymous said...

Ni blogger sama ada bangang atau pemfitnah..2 tu je..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails