Wednesday, January 13, 2021

Beli peti sejuk, penyaman udara dapat rebat RM200

 

PUTRAJAYA: Isi rumah yang membeli peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga pada tahun ini akan diberi e-rebat RM200 di bawah program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 2.0.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pemberian e-rebat dengan peruntukan RM30 juta itu diluluskan dalam Belanjawan 2021 dan dijangka memanfaatkan 150,000 isi rumah.

Menurut beliau pemberian e-rebat itu melibatkan pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang buatan tempatan atau yang dikilangkan dan mendapat persijilan SIRIM atau setara dengannya di Malaysia.

“Rebat ini terhad kepada satu akaun sahaja bagi setiap pembelian penyaman udara atau peti sejuk dalam tahun 2021 atau sehingga kuota habis, yang mana terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program SAVE 2.0, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar dengan syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power, layak memohon.
 
Pemohon boleh mendapatkan e-rebat melalui dua kaedah iaitu dengan membawa bil elektrik terkini untuk membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik atau pasar raya berdaftar di bawah Program SAVE 2.0 atau memohon e-rebat dengan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf, katanya. 

“Bagi pembelian secara dalam talian, permohonan e-rebat melalui Shopee Malaysia telah dibuka mulai 1 Januari 2021 manakala e-rebat melalui pembelian secara fizikal boleh dinikmati bermula hari ini (7 Januari),” katanya dilapor Bernama.

Shamsul Anuar menyarankan pembeli supaya merujuk panduan senarai kelengkapan elektrik dan harga rujukan (RPP) melalui laman sesawang rasmi di www.saveenergy.gov.my sebelum membuat pembelian, serta membuat perbandingan harga bagi mendapatkan harga terbaik dan kos efektif.

Beliau berkata program SAVE 2.0 menggalakkan pengguna mengamalkan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik serta menyokong aspirasi kerajaan dalam proses pengalakkan insiatif penjimatan dan kecekapan tenaga, rendah karbon dan tenaga lestari.

“Kerajaan menyasarkan penjimatan tenaga yang bersamaan dengan RM22.26 juta serta pengurangan pelepasan karbon sebanyak 39,164 tan setiap tahun atau 56,430 bilangan anak pokok yang perlu ditanam selama 10 tahun untuk menyerap karbon tersebut,” katanya.

Terdahulu sebelum ini kerajaan mengumumkan pemberian rebat tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 2 sen/kWj sehingga tempoh Jun 2021 dengan kadar tarif asas 39.45 sen/kWj dikekalkan tahun ini seperti yang dinikmati tahun lalu.

Kerajaan kata Dato’ Dr Shamsul Anuar, bersetuju melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh tahun kedua 2020.

Langkah berkenaan jelas beliau, diambil selaras pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) yang memberi faedah penurunan bil antara 3.6 hingga 9.2 peratus kepada 7.5 juta pengguna.

Begitu juga pengguna komersial menurutnya, akan mengalami penurunan bil di antara 4.0 peratus hingga 5.2 peratus, manakala bil bagi pengguna industri pula akan menurun di antara 4.6 hingga 6.1 peratus.

Justeru katanya, pemberian rebat itu diharap kerajaan dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Mekanisme ICPT yang diperkenalkan sejak Januari 2014 adalah sebahagian daripada Kerangka Dasar Penetapan Baharu Tarif Elektrik yang dikenali sebagai IBR di mana ini merupakan kali kelapan rebat diberikan.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Melalui mekanisme tersebut, pelarasan kadar tarif yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dibuat setiap enam bulan dan dikira berdasarkan kos untuk menjana elektrik.

Malah sebelum itu, Shamsul mengumumkan bahawa bekalan elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.

Katanya, inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan TNB dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” katanya dilapor Bernama.

Shamsul menjelaskan, pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik COVID-19.

Setakat 31 Oktober lepas, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion, katanya. 

Pakej PRIHATIN dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan telah diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung.

Iaitu diskaun secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.

Pada Jun lepas, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

IHtv

2 comments:

Anonymous said...

Menteri bingai ni tau ke bape harga peti sejuk sm aircond cekap tenaga tu sebijik?? Rebat cam haramm!

Anonymous said...

Tutup jer kilang. Bingai betui pentaksub ph.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails