Sunday, January 10, 2021

3 hari terputus bekalan makanan -Penduduk Teluk Renjuna, Tumpat..

 

Paras Sungai Kelantan yang meningkat mengakibatkan penduduk Teluk Renjuna terputus bekalan makanan hampir tiga hari. FOTO NSTP

TUMPAT: Lebih 2,000 penduduk di perkampungan pulau di mukim Teluk Renjuna, di sini berharap mendapat perhatian banyak pihak selepas hampir tiga hari terputus bekalan makanan susulan gelombang ketiga banjir melanda Kelantan ketika ini.

Rata-rata penduduk mendakwa mereka terputus hubungan dengan 'dunia luar' berikutan arus sungai di setiap perkampungan pulau itu mengalir deras sejak Rabu lalu dengan paras air melebihi 10 meter.

Penduduk Kampung Pulau Suri, Suliana Shafiin, 40, berkata hari ini masuk hari kedua beliau terputus bekalan makanan namun bersyukur kerana dibantu keluarga termasuk jirannya yang sudi berkongsi makanan.

"Saya nak keluar ke pekan berdekatan untuk membeli makanan tetapi tidak boleh sebab keadaan arus sungai agak deras sejak dua atau tiga hari lalu dan agak membahayakan kami yang mempunyai bot biasa untuk mengharunginya," kata ibu tunggal kepada empat anak itu.

Penduduk di kampung sama, Ramly Ibrahim, 62, berkata demi meneruskan kelangsungan hidup, seramai 80 penduduk di kampung berkenaan saling membantu dengan berkongsi bekalan makanan bersama jiran mereka yang memerlukan seperti beras, gula, garam, susu dan sebagainya.

"Alhamdulillah, air di kawasan rumah kami mulai menurun tetapi keadaan arus sungai agak deras ketika ini sehingga menyekat perjalanan kami hendak ke pekan membeli keperluan asas.

Kedai kopi, Che Hani Harun, 63 tetap dibuka namun tidak beroperasi dengan lancar kerana sukar menyediakan makanan serta minuman kepada pelanggan disebabkan perlu mengharung air malah dapur untuk memasak pula diletakkan di atas pangkin tempat tidurnya disebabkan air dari Sungai Kelantan melimpah masuk ke premisnya setinggi 0.7 meter dan mencecah hingga ke dalam bilik ketika ditemui di Kok Majid, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Seorang lagi penduduk Kampung Pulau Suri, Mustafa Mahmud, 62, pula berkata selain kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas, pendapatan majoriti penduduk di sekitar Pulau Teluk Renjuna juga terjejas sejak bermulanya musim tengkujuh.

"Keadaan banjir kali ini lebih menyukarkan kebanyakan penduduk di pulau ini yang menjadi nelayan dan peniaga kecil untuk mencari rezeki," katanya.

Selain Kampung Pulau Suri, antara kampung yang dinaiki air ekoran limpahan air dari Sungai Kelantan sehingga mencecah paras pinggang ialah di Kampung Haji Nik Mat dan Kampung Lubuk Kawah yang terletak kurang 100 meter dari sungai berkenaan.

Sementara itu, Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botani (OKU) dari Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu mengagihkan 500 sumbangan makanan di setiap kampung di pulau berkenaan.

"Melalui laporan yang saya terima, majoriti penduduk di sini adalah nelayan dan pendapatan mereka agak terjejas susulan musim tengkujuh, malah pihak kami turut diberitahu bahawa lebih 2,000 penduduk di sekitar Pulau Teluk Renjuna terputus makanan hampir tiga hari," kata Pengerusi PAAK, Datuk Seri Zainal Adnan Shukri selaku penyelaras misi bantuan itu. - BERNAMA

2 comments:

Anonymous said...

Harap ahli parlimen, Dun dan exco kawasan segera turun bantu rakyat yg terkesan akibat banjir dan covid.
Gaji dah naik. Sila jgn makan gaji buta.

Anonymous said...

Mercedes pun dah dpt 14 bijik.
Jgn sibuk selamatkan keta je.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails