Wednesday, November 25, 2020

Dr Zulkifli: Fatwa akan perhalusi penggunaan vaksin COVID-19

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan akan mengambil kira semua aspek termasuk soal maqasid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan.

PORT DICKSON: Penggunaan vaksin COVID-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal masaqid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan akan melibatkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.

“Hal ini akan kita masukkan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi dan dalam masa terdekat kita akan dapat satu rumusan yang baik dengan melihat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tabung Musaadah COVID-19 kepada seorang pesakit buah pinggang di sini, hari ini. 

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Zulkifli dilaporkan berkata Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah ‘harus’, selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.
 
Mengenai tabung Musaadah COVID-19, Zulkifli berkata lebih RM360 juta telah diagihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara bagi tempoh Mac hingga November.

Terdahulu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19, yang mengalami kerosakan buah pinggang sejak berusia lima tahun di kediaman ibu bapanya di Taman Lukut Makmur, dekat sini. 

Kisah Muhammad Syahmi mendapat perhatian ramai pihak sebaik disiarkan media tiga hari lalu yang melaporkan bapanya Mohd Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, berhasrat menjual kediamannya bagi mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak kedua daripada lima beradik itu. 

Sementara itu, Mohd Shamsul Bahari yang menzahirkan rasa syukur berkata kos pembedahan pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) dan kos pembedahan urat saraf sudah mencukupi dan pembedahan dijangka dilakukan bulan depan.

“Dia pernah menjalani pemindahan buah pinggang tujuh tahun lalu, namun kini buah pinggang anak saya telah rosak. Jadi, pembedahan nanti diharap dapat memulihkan semula buah pinggangnya,” katanya. – BERNAMA

Sementara di Jakarta, menurut  AGENSI, Naib Presiden dan ulama Islam kanan Indonesia, Ma'ruf Amin, berkata vaksin COVID-19 yang sedang disediakan kerajaan ketika ini tidak perlu berstatus halal.

Jurucakap naib presiden itu, Masduki Baidowi, berkata kenyataan Ma'ruf itu dibuat pada mesyuarat bersama Menteri Menyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, baru-baru ini.

"Isu ini dibangkitkan dalam perbincangan mengenai perkembangan vaksin yang sedang dibangunkan syarikat farmaseutikal China, Sinovac, dengan kerjasama firma farmaseutikal tempatan, PT Bio Farma.

"Naib presiden menerangkan mengenai perkara penting, jika vaksin itu halal, maka ia baik, tiada masalah, namun jika ia tidak halal, ia juga bukan masalah.

"Ini disebabkan ia adalah isu kecemasan, jadi tidak mengapa untuk digunakan (vaksin tidak halal)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails