Thursday, November 26, 2020

Australia lucut kerakyatan ulama Islam

 

Abdul Nacer Benbrika.

SYDNEY: Kerakyatan Australia seorang ulama Islam kelahiran Algeria dilucutkan selepas didapati bersalah mengetuai kumpulan pengganas yang merancang pengeboman di Melbourne pada 2005.

Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton, ketika mengumumkan perkara itu, berkata ia selari pendirian Australia untuk mengutamakan aspek keselamatan negara dan rakyatnya.

"Jika seseorang individu menjadi ancaman keganasan terhadap negara kami, maka kami akan melakukan sedaya upaya mengikut lunas undang-undang untuk melindungi warga Australia," katanya.

Abdul Nacer Benbrika ialah individu pertama yang dilucutkan kerakyatannya ketika masih berada di Australia.

Dia didapati bersalah dalam tiga pertuduhan keganasan yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun kerana mengetuai kumpulan pengganas, menjadi ahli gerakan itu dan memiliki bahan dikaitkan dengan merancang keganasan.

Ulama kelahiran Algeria itu diperintahkan untuk kekal berada di penjara Australia sehingga habis menjalani tempoh hukuman.

Berdasarkan perundangan Australia, Canberra dibenarkan menahan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan berhubung kegiatan pengganas untuk tempoh tiga tahun lagi selepas menjalani hukuman.

Peguam Benbrika mengemukakan rayuan terhadap penahanannya dan mempunyai tempoh 90 hari supaya pembatalan visa anak guamnya dipertimbangkan dan kembali ke Algeria.

Mengikut perundangan Australia, seseorang individu hanya boleh dilucutkan kerakyatan sekiranya mempunyai dua kerakyatan, sekali gus mengelakkan mereka berstatus tanpa negara.

Australia sebelum ini menggunakan kuasa perundangannya untuk melucutkan kerakyatan Neil Prakash pada 2019, selepas dituduh merekrut anggota menyertai kumpulan Daesh dan dia kini ditempatkan di penjara di Turki.

Pertikaian timbul apabila Australia menyatakan Neil mempunyai dua kerakyatan, iaitu Fiji dan Australia, walaupun Fiji menafikan dakwaan itu, yang turut mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara berkenaan. - AGENSI

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails