Tuesday, July 07, 2020

Tonton Wayang Di Panggung T'ganu, Boleh. Tapi...


HALAMAN HIBURAN
DAP tidak relevan  – Dr Samsuri

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tetap meneruskan peraturan baharu pengasingan bagi lelaki, wanita dan keluarga di semua panggung wayang di negeri ini.


Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peraturan itu mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Menurutnya, garis panduan hiburan itu bagi tujuan mendidik rakyat mengikut aturan Islam yang dilaksanakan di negeri Terengganu.
Namun, kata beliau berterima kasih atas pendapat tidak bersetuju pemimpin parti DAP itu kerana kebebasan bersuara dibenarkan dalam Perlembagaan Negara ini.
“DAP ini minta macam-macam, saya rasa tidak relevan dia (DAP)dengan keadaan di negeri Terengganu. 
“Dia (DAP) boleh bercakap, sebab itu dijamin (hak) dalam Perlembagaan Negara. Tapi, terima kasihlah di atas suara dia. 
“Kita (kerajaan) ada garis panduan tempat untuk (penonton)lelaki, wanita dan keluarga. Jika datang suami isteri boleh duduk di tempat keluarga. 
“Cuma yang diasingkan itu yang bukan mahram sahaja. Apa yang digambarkan pengasingan itu hanya untuk lelaki dan wanita. Jika datang suami isteri akan duduk berasingan, baik tengok tv dekat rumah (ketawa),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita selepas Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu, di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Justeru, Dato’ Seri Dr Samsuri mengingatkan rakyat dan penonton pusat hiburan itu agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan. 
“Itu garis panduan dan kita minta (rakyat)ikutlah. Kita harap tiada yang langgar dan jika ada (pelanggaran)kita nasihat dahulu. 
“Jika ada aduan daripada orang ramai, pihak penguasa jabatan agama akan pantaulah. Pihak PBT akan pantau dan ini adalah proses untuk mendidik rakyat,” jelasnya.
Sebelum ini, sebuah panggung wayang Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB)Square, melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga.
Tindakan itu, turut mendapat kritikan dari Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, apabila kerajaan Terengganu mengenakan peraturan tersebut.
Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Muhammad Zaidan Abdullah menyifatkan, bantahan pemimpin DAP itu kerana tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai garis panduan berkenaan.
“Walaupun terdapat suara kebimbangan dari pemimpin DAP, Nga Kor Ming dengan pendekatan itu, Saya (Pemuda PAS) percaya DAP tidak mendapat maklumat menyeluruh berkenaan pelaksanaan itu,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Manakala, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda  (Armada)  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Syaiful Irfan Anang berpendapat, pelaksanaan itu selari dengan peraturan baharu mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
“Kebanyakan rakyat Terengganu akur dan menyokong usaha kerajaan Terengganu untuk menegakkan hukum Islam dengan mengenakan larangan sedemikian.
“Keputusan itu juga saya pasti telah mengambil kira populasi rakyat Terengganu yang lebih 90 peratus masyarakat Islam,” ujarnya.
Menurutnya, peraturan baharu itu dibuat bagi mengelakkan masalah jika ada pasangan dibawah umur yang tidak dapat diawasi oleh ibu bapa apabila mereka menonton wayang.
Maka, katanya langkah-langkah pencegahan sebegini dianggap wajar bagi menjaga batas pergaulan sosial.- HARAKAHDAILY 7/7/2020
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tonton wayang di panggung Terengganu, memang boleh. Tapi, kena ikut peraturan hiburan yang baharu. Iaitu pengasingan kepada bukan mahram bagi lelaki, wanita dan keluarga. Al-hamulillah, peraturan yang cukup indah, bermaruah dan terhormat.
MB Trengganu itu juga ucap terima kasih atas pendapat 'tidak bersetuju' pemimpini DAP dalam hal ini, kerana kebebasan bersuara dalam perlembagaan membenarkan mereka berpendirian begitu. Itu juga kerana indahnya Islam yang ramai pemimpin-pemimpin mereka belum tahu.

1 comment:

Anonymous said...

Setuju 1001%, jom sama2 jayakan perlembagaan negara!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails