Thursday, July 16, 2020

Produk koko M’sia diterima pasaran antarabangsa


Sikit Tazkirah Ekonomi:
KUALA LUMPUR: Produk-produk berasaskan koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran meluas dan diterima baik oleh pengguna di peringkat antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata sektor koko secara khusus telah mencatat pendapatan eksport sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2019 dengan sumbangan sektor hiliran koko kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.6 bilion.
Manakala sektor pembuatan coklat mencatat pendapatan eksport sebanyak RM1.14 bilion, iaitu 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produk koko pada tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya bertanggungjawab kepada sektor agrikomoditi yang terdiri daripada tanaman dan produk hasilan kelapa sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.
Jelasnya, pada tahun 2019, agrikomoditi menyumbang 6.1 peratus atau RM86.5 bilion kepada KDNK.
Pendapatan eksport agrikomoditi pada tahun 2019 pula direkodkan sebanyak RM125.6 bilion atau 12.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Dalam usaha melangkah ke hadapan, Mohd Khairuddin berkata pencapaian sektor koko perlu ditingkatkan bagi membolehkan Malaysia terus bersaing sebagai pasaran yang penting selain mengambil peluang terhadap pasaran antarabangsa yang giat berkembang.
“Penggalakan aktiviti peringkat hiliran juga akan terus diberi keutamaan bagi memastikan industri koko tempatan kekal berdaya saing.
“Strategi dan program-program sedia ada perlu ditambah baik untuk memantapkan keseluruhan ekosistem industri hiliran merangkumi aspek pemasaran, perdagangan, pelaburan dan bantuan teknikal,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Dalam pada itu, kursus asas usahawan coklat juga merupakan salah satu aktiviti dalam Program Pembangunan Usahawan Coklat Lembaga Koko Malaysia yang telah diperkenalkan pada tahun 2013 di bawah RMK10 bagi memperkasa industri hiliran koko melalui peningkatan kualiti dan pengeluaran produk usahawan coklat.
Kata beliau, antara bantuan yang akan diberikan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi mereka yang berjaya menjadi usahawan adalah bantuan seperti mesin pencair coklat, mesin pembungkusan (pillow pack), mesin ‘continues tempering‘ dan insentif menaik taraf premis (GMP, Halal & HACCP) serta bantuan mereka bentuk konsep dan logo produk.
“Di bawah RMK11, peruntukan sebanyak RM3 juta telah diluluskan bagi program ini dan sehingga 30 Mei 2020 sebanyak 224 usahawan telah dibimbing di bawah program tersebut dengan pendapatan sebulan di sekitar RM2 ribu hingga RM5 ribu sebulan,” katanya pada majlis perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Kuala Nerus, pagi tadi.
Selain itu, katanya hasil daripada pelaksanaan program ini dan program berkaitan usahawan oleh agensi-agensi lain telah membantu usahawan coklat dan konfeksi koko untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak RM10.7 juta atau 0.7 peratus daripada keseluruhan sumbangan sektor hiliran koko Malaysia pada tahun 2019.
Bagi tempoh yang sama, ujarnya, seramai lapan usahawan coklat tahap satu telah dibangunkan dari negeri Terengganu.
Walau bagaimanapun, hanya tiga usahawan yang masih aktif dalam pembuatan coklat buatan tangan iaitu dua usahawan coklat di Kuala Terengganu dan seorang usahawan coklat di Kerteh. – HARAKAHDAILY 10/7/2020

Hibur Hibur Sikit
H2S Pilihan: 11 -Lagu M'sia BERSIH 2Mei 2019. Anti...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails