Tuesday, June 23, 2020

Nak Jadi Pengarang Sufi, Ikut Subky -Ibnu Hasyim



SEBUT saja akhbar Harakah, orang akan ingat Subky Latif. Beliau dengan Harakah seolah-olah tidak dapat dipisahkan, menulis dalam Harakah sejak tertubuhnya hingga sekarang. 

Menjadi penulis terkenal, sehingga ada yang menamakan anak-anak mereka dengan nama Subky Latif bin……. sekian sekian. Ada yang dah dewasa pun sekarang. Kalau penulis lain menganggap Harakah sebagai universiti, maka beliau adalah sebagai pensyarah di unversiti tersebut.

Yang saya ingat, beliau mengisytiharkan berkecimpung dalam politik PAS semasa umurnya menjelangkan 40 tahun. Pengisytiharan bersama Yang Di Pertua atau Presiden PAS waktu itu, iaitu Dato’ Hj Mohd Asri Hj Muda. 

Dan beliau terus bertanding pada pilihanraya kecil pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979, merebut kerusi Menteri Pengangkutan yang kosong dengan kematian Mendiang Tan Sri V. Manikhavasagam. Disitulah lahir buku ‘Anak Jawa Pelabuhan Kelang’(Jan 1980).

Sebelumnya beliau telah menulis hampir puluhan buku-buku politik semasa dan dikatakan juga beliau adalah pelupor penulisan buku-buku politik semasa. Antaranya buku ‘Suka Duka Politik Tun Razak’ yang dicetak puluhan kali dalam masa singkat. 

Beliau disebut juga sebagai peneroka ‘new journalism’ di Malaysia. Hj Subky menyertai PAS di saat imej PAS jatuh merudum setelah di tendang keluar dari kompenan Barisan Nasional (BN) dan kalah teruk dalam pilihanraya 1978, dan istimewanya, nama beliau waktu itu sedang melunjak naik!

Beliau yang berketurunan Jawa dari keluarga beragama anak kelahiran Setiawan Perak dilahirkan pada 28 Julai 1940. Berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris. Juga menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. 

Mengambil Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat. Tahun 1971, mewakili Malaysia dalam Seminar ASEAN mengenai sebaran am di Manila. Pernah dihantar ke Britian, Perancis, Belanda, Denmark, Swirtzerland, Greece, Brussel, Amerika, Mesir dan Indonesia.

Tahun 1974 beliau ditugaskan membuat liputan kunjungan Allahyarham Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia ke Peking bersama Utusan Malaysia. Tahun 1979 beliau diundang mengikuti Persidangan Negara-negara Berkecuali mengenai wanita di Baghdad, seterusnya ke Benghazi Libya. 

Beliau antara peneroka 3 buah akhbar, iaitu dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka’, serta ‘Harian Watan’. Termasuk juga beberapa majalah seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Tulisannya begitu tajam dan berkesan waktu itu. Pernah beliau mengkritik dalam tulisannya ketiadaan air di Johor, kesannya hingga berlaku demontrasi menuntut air. Membongkar kisah ‘2 Abdul’ yang kononnya pro komunis di bawah dagu Tun Razak hingga akhirnya tertangkapnya ‘3 Abdul’ (Abdullah Ahmad, Abdullah Majid & Abdul Samad Ismail).

Hingga akhbarnya digantung KDN (kelulusan Kementerian Dalam Negeri)nya. Waktu itu PAS masih belum ada akhbar suara resminya sendiri, secara sah. Apa yang penting, beliau tetap mempertahankan pendirian perjuangannya, tidak berubah walaupun kepopularitinya dikatakan menurun apabila beliau menyertai pembangkang. 

Setelah menyertai PAS dan menjadi penulis di akhbar Harakah, beliau tetap tenang menghadapi gelombang politik dalaman dan luaran parti. Beliau antara pemimpin yang banyak bertanding dalam pilhraya melawan BN, tetapi tidak pernah menang dapat kerusi sekalipun. Pernah bertanding di Setapak, Perak, di Kubang Pasu melawan Dr Mahathir, Jerai, Terangganu dan lain-lain.

Tiada pencen apa-apa pun. Tiada pendapatan tetap kecuali menulis. Tiada hidup mewah. Hidup sederhana dan tiada banyak harta pun. Hidup bagaikan ahli sufi yang miskin harta tetapi kaya jiwa. 

Pernah suatu masa sewaktu beliau baru pulang dari Terangganu (negeri asal isterinya), masa itu masih belum ada Harakah lagi. Beliau cuba untuk membangunkan bahagian penerbitan di sana.

Saya tanya beliau, “Pulang terus, tak pergi-pergi lagi ke??”
“Ya!” Jawabnya.

“Kenapa?”
“Kalau saya duduk di sana lagi, saya terpaksa bawa tempurung minta sedekah!!” Katanya sambil bergurau.

Beliau banyak mencurahkan ilmu, macam tokoh-tokoh PAS lain.. Tapi tiada kereta dan rumah mewah, kerana beliau bukan penulis komersial.. Mungkin beliau berpeluang mencari harta semasa berbaik-baik dengan pemimpin kerajaan dulu, semasa dalam surat khabar Utusan, tetapi kesempatan itu tidak diambilnya. 

Bahkan beliau memilih PAS, yakni parti yang boleh mengkibatkan azab sengsara di dunia (pas = parti azab sengsara?).

Saya teringat kisah seorang penulis komersial atau ada juga yang menyebut ‘penulis upahan’, melihat sebuah buku tulisan Subky bejodol ‘Sifir Politik’. Bukunya diterbitkan dalam bentuk majalah tak berkala, sebelum adanya Harakah lagi, dijual dengan harga RM1 sahaja. Penulis itu menggelengkan kepala..

Katanya, “Buku yang begitu menarik, dengan symbol campur-tolak dan dharap-bahaginya, dengan isi melambangkan percaturan metametik politiknya yang hebat, tetapi kenapa dijual dengan harga RM1 saja?? Kalaulah saya.. dengan tokok tambah supaya tebal lagi dan berkulit cantik, apalagi bila ‘ada nama’ atau terkenal macam nama beliau (Subky), tentu saya jual tidak kurang dari harga RM25.” (RM25 pada waktu itu agak edisi mewah-IH)

Itulah Subky yang saya lihat, penulis Harakah yang mewarisi cara hidup sederhana macam Tok Guru Nik Aziz. Ingat, masa Tok Guru mula-mula perintah Kelantan (1990), antara kempennya, ialah cara hidup sederhana. Mungkin itulah antara sebabnya, pengekalan pemerintahan Tok Guru hingga kini. 

Begitulah cara hidup Hj Subky sebelum Tok Guru perintah Kelantan lagi. Ada orang-orang Harakah atau PAS yang hendak ikut gaya sufi Subky?

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-09-2007.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Blog ini mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum, dan sama-sama menyedekahkan al-fatihah kepada Almarhum. 23 Jun 2020.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails