Wednesday, June 10, 2020

Ekonomi M'sia Pulih Akhir Tahun Ini -Bank Dunia


Sikit Tazkirah Ekonomi:
Covid-19: Bank Dunia Jangka Ekonomi Malaysia Kembali Pulih Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Ekonomi Malaysia dijangka berada di landasan pemulihan bermula akhir tahun ini dan kembali kepada pertumbuhan memasuki 2021, kata Bank Dunia. 

Pengurus Negaranya bagi Malaysia, Dr Firas Raad berkata, negara perlu meneruskan langkah-langkah kesihatan awamnya yang efektif ketika memulihkan semula ekonomi kembali ke paras seperti sebelum bermulanya pandemik COVID-19.

Beliau berkata dasar yang menyokong pertumbuhan, ditambah dengan insentif bagi menggerakkan sektor swasta merupakan ramuan penting yang perlu diambil bagi membantu negara pulih daripada kegawatan ekonomi. 

"Negara pertama sekalinya perlu meneruskan langkah-langkah kesihatan awamnya yang efektif bagi memastikan tidak berlakunya gelombang kedua atau virus (COVID-19) kembali semula.

"Selain daripada itu, (ia mesti) terus menyokong isi rumah yang terjejas dan menumpukan kepada syarikat yang memerlukan sokongan dan pemulihan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan kemudiannya mula memikirkan agenda pembaharuan jangka sederhana,” katanya dalam program The Nation yang bertemakan “Pelan Pemulihan Ekonomi (Perspektif Bank Dunia)" di Bernama TV, hari ini. 

Firas berkata Malaysia perlu meneruskan agenda pembaharuan seperti yang melibatkan tadbir urus, persekitaran kawal selia dan persaingan sektor ekonomi, serta pembaharuan pendidikan, dalam usahanya mencapai status negara berpendapatan tinggi. 

"Untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi Malaysia perlu meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan ia hanya dapat dicapai dengan pelaburan besar dalam modal insan,” katanya. 

Beliau berkata Bank Dunia sedang menilai semula impak ekonomi penularan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia sebelum memutuskan sama ada untuk menyemak semula sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2020 negara, pada bulan ini.

Bank itu pada April menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2020 Malaysia daripada 4.5 peratus kepada -0.1 peratus, di tengah-tengah penularan COVID-19.

Aktiviti perniagaan di Malaysia disambung semula apabila negara melonggarkan secara berperingkat langkah-langkah kawalan pergerakan selepas aktiviti ekonomi terhenti hampir dua bulan. 

Negara kini sedang memasuki fasa pemulihan  COVID-19 susulan trend jangkitan yang menurun, manakala keupayaan perubatan dan kesihatan awam negara telah mencapai tahap yang lebih baik dan meyakinkan.

Majoriti perniagaan telah dibenarkan dibuka semula meskipun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos. 
-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Sapa kata ekonomi malaysia terjejas?
Tgk la bape ramai rakyat dpt bantuan. Xde pun negara bankrap. Sokong muhyidin belanjakan duit lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails