Wednesday, January 01, 2020

Selenggara Segera Masjid Jalan York. YDP MAIP Buat Apa?


Tolonglah jaga Masjid Jalan York elok-elok
JEMAAH Masjid Jalan York, Georgetown, memohon supaya pihak pengurusan menyelenggara semula kemudahan masjid berkenaan.
Ia berikutan kemudahan asas tidak lengkap menyebabkan masjid yang dipercayai berusia ratusan tahun itu kurang disinggahi.
Jemaah, Rizal Waqiasan, 60, berkata, sejak tiga tahun lalu, dia turut bergilir menjadi imam di situ secara sukarela bagi solat fardu setiap hari bersama dua lagi anak berusia 19 dan 12 tahun.
Katanya, tindakan pihak pengurusan mengunci tandas muslimah menyebabkan jemaah kurang selesa kerana terpaksa berkongsi tandas dengan jemaah lelaki.
“Di situlah juga tempat bagi mengambil wuduk lelaki dan wanita, sudah tentu menimbulkan rasa kurang selesa.
“Lagipun, kemudahan tandas itu sudah sedia ada, kenapa perlu dikunci,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut Rizal berkata, pintu laluan pintas antara kawasan perumahan bersebelahan masjid bagi kemudahan jemaah menunaikan solat juga dikunci.
“Jika pintu itu tidak dikunci, lebih mudah penduduk datang bersolat, tambahan pula ini rumah Allah tak perlu dikunci atau meletakkan halangan,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat jemaah wanita yang terpaksa menunggu untuk bergilir mengambil wuduk bersama jemaah lelaki manakala pintu laluan pintas juga dikunci.
Difahamkan masjid berkenaan pernah menjadi persinggahan pelajar tahfiz bagi membaca al-Quran namun mereka sudah tidak dibenarkan berada di kawasan itu beberapa tahun lalu.
Terdapat beberapa bungkusan guni yang mengandungi kitab, buku dan al-Quran lama yang sudah dimakan anai-anai di bahagian belakang masjid dan tidak dilupuskan dengan baik.
Rizal berkata, dia difahamkan sudah lama bungkusan itu diletakkan di situ, malah pihak pengurusan masjid juga maklum dengan perkara berkenaan dan tidak tahu sampai bila ia akan lupuskan dengan betul.
Katanya, pihak pengurusan seakan tidak mesra jemaah selain tidak berusaha bagi meramaikan masjid ini malah mereka bukan dari kariah di sini.
“Dicadangkan supaya pihak pengurusan masjid dipilih semula dengan melantik pengerusi dan ahli jawatankuasanya daripada kalangan kariah di sini kerana itu lebih baik.
“Ada hikmahnya ia tular kerana semakin ramai yang bersolat di sini dan sudah tahu keberadaan masjid ini,” katanya lagi.
Terdahulu tular mengenai notis Masjid Jalan York yang hanya boleh beroperasi antara 9.30 pagi hingga 9.30 malam setiap hari dan akan ditutup selepas waktu itu.
Arahan itu dikeluarkan oleh pengerusi masjid berikutan sering berlaku kegiatan vandalisme dan kecurian pada waktu malam.
Namun Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menerusi satu kenyataan mendakwa notis berkenaan tidak sah kerana pihak pengurusan bukan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah hal ini berlaku kerana Ketua Menteri di negeri umat Islam dipimpin KM yang bukan Islam?  YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang buat apa?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails