Wednesday, January 01, 2020

Lagi Warga China Buat Hal, Penipuan Dalam Talian.


KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud memeriksan suspek warga China yang ditahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Bersama Ketua Pengarah Imigresen di Bangunan Kediaman di Puchong. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Operasi kesan PATI bermula, 87 warga China terbabit penipuan dalam talian ditahan


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 87 warga China tanpa dokumen perjalanan sah, yang disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian di kawasan Setia Walk di sini, hari ini.
Kesemua mereka ditahan di sebuah kondominium dan premis perniagaan menerusi operasi bersepadu, susulan berakhir program penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau Back For Good (B4G) semalam.
Operasi bermula jam 11 pagi yang diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud itu membabitkan serbuan di lima unit kediaman dan sembilan unit pejabat yang menjalankan kegiatan pelaburan dalam talian.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan serentak di seluruh negara, susulan berakhirnya permohonan bagi program B4G sejak Ogos lalu.
“Dalam operasi ini, 79 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pelaburan dalam talian berdasarkan skrin komputer yang memaparkan skim pelaburan seperti Forex dan Crypto Currency serta perjudian.
“Turut dirampas, enam komputer peribadi, 33 komputer riba serta 203 telefon bimbit,” katanya dalam sidang media selepas operasi terbabit, hari ini.
Beliau berkata, premis yang diserbu itu turut dijadikan pusat latihan untuk kegiatan terbabit, berdasarkan skrip dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditemui.
“Mereka ini dilatih bagaimana untuk mendekati pelanggan melalui aplikasi dalam talian dan menerusi perbualan dalam talian.
“Sindiket ini mungkin sudah beroperasi tiga hingga empat bulan lalu berdasarkan keadaan premis. Buat masa ini, kita tidak boleh buktikan sama ada semua mereka ini dari sindiket sama atau tidak, tetapi mereka melakukan kegiatan yang sama iaitu pelaburan,” katanya.
Tambahnya, modus operandi sindiket bagi kegiatan itu didapati sudah bertukar daripada menyewa bangunan komersial yang besar dan menggunakan komputer persendirian kepada menyewa unit kediaman seperti kondominium.
“Unit kediaman ini dijadikan pusat operasi dilengkapi dengan kemudahan komputer riba dan talian internet. Mereka juga dilihat bergerak dalam kumpulan kecil supaya mudah melarikan diri apabila diserbu.
“Pihak Imigresen turut dimaklumkan oleh sumber terdapat pembelian kad sim semalam berjumlah RM24,000 di premis yang terdapat di sekitar bangunan,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata sehingga berakhir program B4G, sebanyak 190,471 permohonan diterima dengan 165,041 warga asing sudah dihantar pulang, manakala bakinya akan pulang mengikut tarikh tiket yang sudah dibeli.(BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails