Wednesday, January 01, 2020

Masuk Saja, Keluar Tiada. Batalkan Pengecualian Visa...


PAS berpendapat perkara utama yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan adalah penyelesaian isu lebih 95 peratus pelancong China dan India yang tiada rekod tarikh keluar antara 2016 hingga 2018. Jumlah sebenar yang didedahkan oleh Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ialah melebihi 115,000 orang. 

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga mendapati kira-kira 1.26 juta warga China dan 296 ribu warga India sedang diproses secara manual di bawah MyIMMs. Jelas Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian).

"Lambakan pelancong warga China dan India yang bermastautin di negara ini mesti diselesaikan segera. Isu keselamatan telah menjadi prioriti utama berbanding sasaran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Pengecualian visa yang diberikan khusus kepada pelancong warga China dan India pada tahun 2016 dan 2017 perlu dihentikan supaya isu ‘pemastautinan’ mereka diselesaikan segera. PAS berpendapat keselamatan negara harus diutamakan terlebih dahulu.

"Tambahan pula, sebelum ini kita dapati banyak isu seperti sindiket penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir seribu warga China yang terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah warga asing dan lambakan PATI. PAS mahu Kerajaan Persekutuan tidak berkompromi dan mengambil mudah dengan kemasukan warga asing di negara ini.

"Masalah kritikal yang dihadapi ialah wujud kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di pintu-pintu masuk pelancong. Meskipun banyak syarat yang perlu dipatuhi, namun isu-isu yang dihadapi selama ini lebih besar. PAS mahu pengecualian visa tahun 2020 dibatalkan selagimana isu-isu tersebut masih belum diselesaikan. " Jelas beliau lagi.

Sementara itu, menurut Kamarulzaman Mohamad 
Ketua Penerangan PAS pula..

"Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, sepanjang 2016 sehingga 2018, sebanyak 79,799 data ketibaan warga China dan 41,243 warga India melawat ke negara ini. Namun, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) merekodkan sejumlah 76,258 (95.6 peratus) warga China dan 39,806 (96.5 peratus) warga India tidak mempunyai rekod keluar.

"Pada 21 Ogos 2019, telah berlaku gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama tiga hari. Ia menjadi catatan hitam dalam sejarah negara. Dalam tempoh tersebut, tular di media sosial segerombolan warga China masuk ke Malaysia atas tiket pelancong.

"Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan terancang apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) membuat laporan kepada Jabatan Imigresen dan PDRM supaya menyiasat kegagalan rangkaian di KLIA itu seperti satu tindakan berniat jahat.

"Ia seperti mempunyai kaitan dengan sindiket kad pengenalan, passport dan sijil kelahiran palsu di Pulau Pinang yang menyebabkan lebih 20 suspek telah ditangkap termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

"Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, mengatakan pihaknya percaya sindiket ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah di negeri-negeri lain dan percaya sudah lama beroperasi. PAS menegaskan secara total agar pihak Menteri dan pihak berkuasa agar segera menyiasat sindiket kemasukan warga China dan India serta kaitannya dengan sindiket kad pengenalan palsu secara menyeluruh.

"Jangan kerana kepentingan pihak tertentu untuk mempertahankan kuasa politik, kedaulatan dan keselamatan negara tergadai di tangan orang asing. " Jelas  Kamarulzaman lagi. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails