Thursday, November 14, 2019

Suami Isteri Terbabit Pelacur Didakwa.


PASANGAN suami isteri didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, hari ini, kerana terbabit dalam kes bapa ayam dan melacurkan diri. - Foto NSTP/Imran Makhzan


KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri berdepan hukuman penjara, sebatan dan denda selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, atas tuduhan terbabit kegiatan pelacuran di negeri ini.
Bagaimanapun, pasangan itu yang memiliki tiga anak berusia empat, tujuh dan 10 tahun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas pertuduhan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara isterinya dan lelaki lain di sebuah bilik hotel di bandar raya ini, jam 8.40 malam pada 24 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berusia 33 tahun didakwa mengikut Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27 enakmen sama kerana melacurkan isterinya atau membiarkan wanita berusia 32 tahun itu melacurkan diri di lokasi, waktu dan hari sama.
Isteri tertuduh yang memakai baju kurung hijau dan berpurdah ketika hadir di mahkamah hari ini turut berdepan satu pertuduhan iaitu melakukan perbuatan sebagai persediaan melacurkan diri di lokasi, waktu dan hari sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25 enakmen sama kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau tidak lebih enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Sebaik pengakuan tidak bersalah pasangan itu direkodkan, Kamalruazmi menetapkan 19 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala tertuduh wanita dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat kedua-dua penjamin adalah individu berbeza.
Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam syarie, Fazru Anuar Yusof.
Terdahulu ketika prosiding kes, Kamalruazmi menegur tertuduh wanita menutup aurat kerana Allah dan tidak hanya menutup aurat termasuk memakai niqab hanya untuk menutup malu.
“Saya tidak tahu kamu di luar bagaimana, tetapi jika kamu berniqab, lakukannya kerana Allah, jangan hanya untuk menutup malu ketika di mahkamah kerana ia akan menimbulkan persepsi buruk kepada masyarakat terhadap Islam,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri terbabit dalam kegiatan pelacuran dicekup sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) jam 8.40 malam pada 24 Julai lalu di sebuah hotel di sini.
Pasangan itu dipercayai mempromosikan ‘perniagaan’ mereka menerusi aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan. (BH)


Hibur Hibur Sikit
    1. Terkenang semasa Dulu - R Azmi

      • 9 years ago
      •  
      • 384,856 views
      Barang dan peralatan yang biasa kita gunakan sekitar tahun 70an, menggamit kenangan saat terindah dalam hidup

  1. Pulang Merantau - Tunang Pa'Dukun.

    • 11 years ago
    •  
    • 442,536 views
    Era 60a


  1. Bumi Dipijak Milik Orang - Anak Kecil Main Api #NiaHagna

    • 1 year ago
    •  
    • 581 views
    Lagu Warisan Orang Lama.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails