Saturday, November 16, 2019

ADUN DAP EXCO Perak Diituduh Rogol Kembali Bertugas.


PAUL Yong Choo Kiong (dua kiri) bersalaman dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kanan) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Abdullah Yusof


IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumahnya, kembali bertugas hari ini.
Beliau yang mengumumkan bercuti pada 25 Ogos lalu membuat kejutan apabila menjawab soalan lisan berkaitan portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, semalam.
Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh menjawab soalan lisan mengenai perumahan dikemukakan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar).
Dalam kenyataan ringkasnya kepada media, Yong berkata, dia kembali bertugas selepas berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Selepas berbincang dengan Menteri Besar, beliau menyokong supaya saya kembali bertugas dengan semua penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa.
“Saya amat yakin terdapat dalang yang merancang segala komplot ini (pertuduhan kes rogol). Ia bertujuan menjatuhkan kedudukan jawatan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta mencemarkan nama baik saya.
“Ini satu taktik politik yang amat kotor untuk menganiaya seseorang, terutama saya seorang EXCO,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, Yong didakwa merogol pembantu rumahnya di bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, antara jam 8.15 malam hingga jam 9.15 malam, 7 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.
Yong bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan perbicaraan kes itu berlangsung dua hari pada Isnin dan Rabu lalu sebelum ditangguh pada 5 Disember ini.
Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata tindakan Yong menjawab soalan lisan pada Sidang DUN walaupun menjadi tertuduh kes jenayah, tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
“Itu keputusan kerajaan negeri, saya tidak akan masuk campur. Dari segi undang-undang, beliau masih ADUN dan Exco,” katanya pada sidang media.(BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails