Sunday, November 03, 2019

Cecair Vape Mengandungi Nikotin Tanpa Lesen?


Modal RM5 Jual RM50
ADA antara mereka sudah bergelar jutawan muda dengan memiliki jet peribadi dan kapal layar mewah hasil penjualan cecair perisa vape mengandungi nikotin.
Malah, risikan sejak beberapa bulan lalu mendapati cecair vape mengandungi nikotin tanpa lesen dihasilkan di negara ini turut dieksport ke serata dunia hingga ke Kanada, Chile, Pakistan, Colombia, Mexico, Bulgaria, Bolivia, Paraguay dan Asia Barat.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kegiatan pengilangan cecair perisa vape yang semakin bercambah di negara ini jelas memberi keuntungan besar kepada golongan ini.
Menurutnya, risikan KKM mendapati mereka hanya perlu menyeludup masuk cecair nikotin yang menjadi ibu vape atau bahan wajib bagi menghasilkan adunan perisa vape.
“Berdasar siasatan, setiap satu gelen nikotin bersamaan 3.785 liter boleh digunakan bagi menghasilkan kira-kira 400,000 botol cecair perisa vape.
“Setiap botol kecil cecair vape dihasilkan dengan modal sekitar RM3 ke RM5 sebelum dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 sebotol kepada pelanggan tempatan.
“Malah harganya boleh meningkat berkali ganda jika dieksport ke luar negara,” katanya.

RAMPASAN cecair vape yang mengandungi nikotin oleh Penguatkuasa Farmasi. FOTO ihsan Farmasi

Menurutnya, siasatan dilakukan sebelum ini mendapati, pengilang cecair vape mencampurkan cecair nikotin dalam kuantiti tinggi hingga ada antaranya mencecah sehingga 50 miligram bagi setiap botol kecil.
“Kandungan nikotin ini tinggi dan mampu mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan termasuk menjadi punca kanser, kerosakan paru-paru selain mati mengejut seperti mana kes berlaku kepada pengguna vape di Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya.
Beliau berkata, KKM sebelum ini menasihati penjual, pengedar, pengilang dan pengimport untuk menghentikan serta-merta aktiviti pengilangan, pengedaran serta penjualan cecair vape mengandungi nikotin.
“KKM akan meneruskan pemantauan serta menjalankan operasi berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan cecair rokok elektronik atau vape bernikotin dapat dibanteras.
“Nikotin adalah racun Kumpulan C dan dikawal sepenuhnya penggunaan mengikut Akta Racun 1952 [Akta 366].
“Penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen sah adalah satu kesalahan mengikut akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta itu iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. (MyMetro)


Lihat Sebelum Ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails