Saturday, November 09, 2019

Uji Maruah, Bukan Anjing Gemuk, Dilehernya Ada Rantai.. -Presiden PAS


Krisis ekonomi 1997 menguji maruah
SAYA bukan ahli ekonomi, tetapi menjadi pemerhati, kerana seseorang manusia wajib bermasyarakat tidak boleh memisahkan diri terutamanya aspek politik dan ekonomi.
Seperti penonton bola sepak memang mudah memberi komen kepada pasukan yang kalah, sedangkan pemainnya terhungap-hungap dan terjelir lidah berusaha untuk menang begitu payah.
Pengurus yang berjaya sepatutnya tidak boleh berbangga dengan kejayaan melalui pemain import yang dibayar dengan harga yang mahal. Sepatutnya mengambil pengajaran daripada negara Amerika Latin yang miskin berjaya ke peringkat Piala Dunia dengan melatih anak watannya.
Begitu juga dalam menghadapi krisis ekonomi 1997 yang lebih parah kerana melibatkan maruah negara dan umat, kejayaan Tun Mahathir menyelesaikan krisis tersebut dengan menggunakan sumber dalam negara dan kekuatan kepakaran sendiri adalah perlu dibanggakan. Bukan bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengundang penjajahan ekonomi, belenggu hutang dan segala akibatnya yang boleh mengundang campur tangan asing dalam negara.
Walaupun PAS parti pembangkang yang dibelasah sehingga berlawan dengan sekeras-kerasnya, tetapi menyedari bahawa kita berada dalam satu tanah air laksana satu bahtera yang tenggelam timbulnya tetap bersama, maka tetap mengakui apa yang sebenar dipikul bersama.
PAS ketika itu turut memberikan pandangan untuk membaiki ekonomi negara, dengan menyeru peniaga dan rakyat untuk terus bertahan, berbelanja dengan cermat, mengurangkan hutang dan menyimpan untuk kecemasan.
PAS tetap menjadi pembangkang yang menasihat dan turut memberi perhatian kepada calon bakal Perdana Menteri. Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman memerintah, pastinya sangat mengenali calon yang layak di kalangan muridnya yang telah dilatih. Maka hendaklah dipilih yang berjaya dalam ujian. Jangan memilih calon yang gagal, membawa ijazah palsu atau suka meniru untuk mendapatkan jawapan.
Peristiwa krisis ekonomi tersebut menjadi salah satu ujian peperiksaan mempertahankan maruah negara dan umat. Oleh itu, PM sudah kenal siapa yang hendak dipilih terutamanya beliau adalah Melayu yang tidak lupa.
Saya teringat kisah penglipur lara yang menjadi pengajaran.
Hasil carian imej untuk Anjing Gemuk, di leher ada rantai

Seekor anjing hutan yang keluar merayau mencari makan tersesat dalam kawasan perumahan, terserempak dengan seekor anjing peliharaan yang dirantai lehernya dalam keadaan badan yang gemuk dan sihat kerana sentiasa dilayan oleh tuan yang mengasihinya, lalu menggoda si anjing hutan supaya bersamanya kerana senang mendapat makanan percuma walaupun tengkuk di rantai.
Tiba-tiba anjing hutan menolak dengan keras dan melarikan diri kerana menyedari bahawa hidup bebas merdeka itu lebih baik daripada dibelenggu walaupun kenyang dan gemuk.
Begitulah mahalnya erti kemerdekaan dan maruah, bukannya menjadi barua kepada sesiapa sahaja. Mempertahankan maruah sangat besar maknanya.
Pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1997 adalah ujian untuk menilai siapa yang berani mempertahankan maruah negara dan umat, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah kepada pihak luar.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabiul Awwal 1441 / 8 November 2019 – HARAKAHDAILY 8/11/20

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails