Thursday, October 31, 2019

K'tan: Royalti 10 Telaga Minyak Dibayar Selepas Persempadanan.. -Azmin

Royalti 10 telaga minyak dibayar selepas persempadanan perairan negeri selesai - Azmin

KL: Isu persempadanan perairan perlu diselesaikan segera sebelum Kerajaan menentukan jumlah bayaran royalti kepada mana-mana Kerajaan Negeri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata daripada 12 telaga minyak dan gas di kawasan perairan Pantai Timur, hanya dua telaga yang jelas berada di dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

“Dari pesisir pantai Kelantan ini, tiga batu nautika kita boleh tentukan itu milik Kelantan, tetapi kalau saya perincikannya, kesemua 10 lapangan ini adalah di luar tiga batu nautika pesisir pantai Kelantan.

“Oleh kerana itu, kalau ia berada dalam tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan, kita boleh putuskan segera bahawa semangat Akta Pembangunan Petroleum 1974 akan kita laksanakan iaitu lima peratus untuk negeri, lima peratus untuk Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 atau Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, sekiranya sempadan perairan negeri tidak diselesaikan segera, bayaran royalti akan kekal berdepan masalah selain dilihat tidak adil bagi negeri-negeri lain yang berkemungkinan memiliki lapangan petroleum tersebut.

“Saya bagi contoh, ada Telaga Gas Bertam. Ini juga menjadi tuntutan Pahang. Pahang juga adalah sebahagian daripada Malaysia. Terengganu juga adalah sebahagian daripada Malaysia. Jadi biarlah peruntukan undang-undang sedia ada ini menentukan sempadan dan kita akan bayar.

“Kalau kesepuluh-sepuluh ini dalam perairan Kelantan, saya beri jaminan Petronas akan bayar pembayaran tunai terus kepada Kelantan. Kalau ia milik Pahang, saya bertanggungjawab memberi penegasan bahawa bayaran tunai itu milik rakyat Pahang, semua adalah Malaysia.

“Saya tidak berniat mengkhianati Kelantan dan memberi royalti kepada negeri lain, tidak. Kita (perlu) putuskan. Ini bukan alasan baru, saya hanya memberi maklumat terkini bagaimana kita nak cari penyelesaian,” jelasnya.

Pada sesi penggulungan yang cukup terperinci itu, Mohamed Azmin turut menunjukkan peta lokasi telaga minyak dan gas di perairan Pantai Timur kepada ahli-ahli Parlimen.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya bayaran tunai kepada Kerajaan Negeri akan dibayar terus oleh Petronas mulai tahun hadapan seperti amalan yang dilaksanakan oleh Petronas kepada Sabah dan Sarawak. (AA)

Lihat Sebelum Ini..

1 comment:

Anonymous said...

KERAjaan PH mahu kencing Kelantan lagikah?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails