Thursday, October 31, 2019

Kenapa Jual PLUS Jika Swasta Tak Mampu Hapuskan tol?'


KUALA LUMPUR: Kerajaan ‘mengalu-alukan’ mana-mana pihak swasta yang mahu mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS), jika mereka mampu mengurang atau menghapuskan tol, selaras janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, percaya tiada mana-mana syarikat swasta yang mampu berbuat demikian kerana entiti swasta mementingkan keuntungan berbanding kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan menswastakan konsesi lebuh raya itu yang kini dimiliki Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sekarang PLUS dimiliki Khazanah dengan pegangan 51 peratus dan KWSP sebanyak 49 peratus. Kenapa mahu swastakan?
“Kalau jual PLUS pada pihak swasta yang akan mengenakan tol dan menaikkan kadar tol, ia tidak memenuhi kehendak manifesto PH.
“Pendirian Khazanah jelas, apakah pihak yang membeli PLUS boleh menjamin akan mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol? Sudah tentu tidak kerana pihak swasta nak beli sesuatu yang boleh beri keuntungan.
“Kita bukan soal keuntungan, sebaliknya Khazanah dan KWSP mahu beri perkhidmatan kepada pengguna jalan raya, kecuali ada pihak swasta nak beli dan nak hapuskan tol. ‘Good luck’ kalau kamu boleh (hapuskan tol),” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan hari ini, bahawa dana pelaburan negara itu tidak berminat menjual PLUS, yang juga syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan belum menerima cadangan yang menarik setakat ini berhubung tawaran pengambilalihan PLUS, meskipun menerima empat cadangan daripada pihak swasta.
Hari ini, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, dilaporkan menaikkan tawaran bidaan PLUS kepada RM5.3 bilion berbanding RM3 bilion sebelum ini.
Jumlah itu adalah sebagai pertimbangan tunai, selain pengecualian pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion, sekali gus tawaran tertinggi dari sektor swasta.
Tiga cadangan pengambilalihan untuk PLUS iaitu daripada Maju Holdings Sdn Bhd bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing daripada RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion). (BH)
Lihat Sebelum Ini..

1 comment:

Unknown said...

Ibnu Hashim biar macam kelantan tiada Tol dan tiada jalan itulah Islam yg maju.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails