Tuesday, April 23, 2019

Saudara Baru Berkesempitan Hidup, Tapi Tetap Beragama Islam,..



SELEPAS hampir dua tahun menginap di pondok dalam kawasan tokong di Masjid Tanah, Alor Gajah, lelaki mualaf (saudara baru) dan isterinya akhirnya dipindahkan ke rumah anak bongsu mereka di Paya Luboh, Tangga Batu.
Rosli Abdullah, 72, (gambar di atas) yang memeluk Islam sejak 1980, hidup serba kesempitan bersama isteri, Faridah Mat Ali, 63, dengan menumpang tinggal di pondok di tokong itu selepas kehilangan kerja dan hilang punca pendapatan, kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, dia menikahi Faridah kira-kira 39 tahun lalu, selepas memeluk Islam dan menetap di rumah keluarga isterinya di Lendu, sebelum menyewa di Masjid Tanah selepas mendapat pekerjaan sebagai pembantu kedai makan di situ.
“Dulu isteri berkerja kilang, tetapi sekarang dia tidak lagi berkerja, tempat saya berkerja pula sudah tutup, jadi saya tiada pendapatan dan tidak mampu membayar sewa RM280 sebulan.
“Isteri menerima elaun makan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM230 sebulan, itu sahaja wang kami ada dan memang tidak mampu membayar sewa,” kata Rosli yang mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Menurutnya, dia sudah lama tidak berhubung dengan dua anak lelaki dan hanya berhubung dengan anak perempuan bongsunya.
Katanya, dia mencari rumah untuk disewa, namun tidak mampu dan pada masa sama, dia dan isteri tidak mahu membebankan anak perempuannya, Jamaliah Rosli, 35, yang hidup susah.
“Anak bongsu saya dan suaminya juga susah, dulu mereka menyewa dan ada tanggungan empat anak. Kami tidak mahu susahkan mereka lalu saya cari tempat tinggal lain dan ketika itu, kebetulan jumpa tokong dan saya beritahu kenalan yang saya kenal, nak menumpang di situ.
“Kawan itu benarkan saya tinggal di situ secara percuma dan meminta saya jagakan tokong daripada diceroboh, tiada gaji diberi tapi saya tinggal di pondok itu percuma, tanpa perlu membayar bil letrik dan air.
“Cuma saya perlu sediakan sendiri keperluan makan minum, menggunakan wang bantuan JKM isteri,” kata Rosli.
Ditanya sama ada mahu berpindah ke rumah sewa lain, Rosli berkata, dia enggan berbuat demikian berikutan anak perempuannya sudah menjemput dia dan isteri tinggal bersama meskipun di rumah kecil, selain seronok dapat melihat cucu.
Sementara itu, Faridah berkata, dia dan suami menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, malah suaminya itu turut menghidap penyakit angin pasang, sekali gus membantutkan urusan hariannya untuk berkerja.
Kehadiran Rosli dan Faridah yang dipindahkan JKM pada 8 malam kelmarin dilihat cukup disenangi cucu mereka.
Sementara itu, Jamaliah berkata, dia hanya mengetahui bapa dan ibunya tinggal dalam kawasan tokong lebih setahun lalu, namun ketika itu tidak mampu membawa merkea keluar dari situ berikutan kesempitan hidup.
“Sekarang suami sudah bina sendiri rumah di atas tanah ibunya, rumah ini kelihatan seperti rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) tapi dibina sendiri dengan sumbangan adik beradik suami.
“Apabila JKM hubungi saya berkaitan ayah dan emak saya, saya beritahu supaya kedua-duanya tinggal bersama kami,” kata Jamaliah.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Leow Abdullah berkata, pihak MAIM bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Melaka sempat menziarah pasangan warga emas terbabit di tokong itu, Sabtu lalu. (HMetro)

Komen Weblog IbnuHasyim: Mari kita lihat pendekatan Khaliah Islam Umar A-Khattab dalam menangani masalah kemiskinan rakyat. Khalifah Umar Al-Khattab R.A, sering melakukan siasatan sendiri untuk mengetahui keadaan rakyat jelata dibawah kerajaannya..... 

Begini kisahnya dalam sejarah Islam..

Hasil carian imej untuk umar Khattab dan wanita miskin
“Khalifah telah berbuat zalim pada kami anak-beranak…" Jawab si ibu

Suatu malam, Khaliah Islam Umar A-Khattab telah terdengar tangisan kanak-kanak daripada sebuah rumah kecil di hujung desa.... 

Kelihatan seorang ibu yang dikelilingi anak-anaknya sedang memasak sesuatu di dalam periuk.... Walau bagaimanapun, setiap kali anaknya menangis, si ibu akan berkata“Tunggulah sebentar,.... makanan ini sedang ibu masak...”


Saidina Umar memerhati dari jauh dan berasa hairan kerana ucapan tersebut diulangi beberapa kali... walaupun si ibu telah memasak untuk tempoh masa yang agak lama..... 
Saidina Umar memberanikan diri untuk menyiasat perkara tersebut,... Beliau memberi salam dan meminta izin untuk memasuki rumah itu,.... lalu dia bertanya kepada ibu tua itu, “ Mengapa anak-anak ibu tidak berhenti menangis ?..”

“Hal ini kerana mereka sangat lapar..” Jawab si ibu.

“Mengapa tidak diberikan makanan yang ibu masak dari awal tadi ? ” ...Umar bertanya lagi.

“Tidak ada makanan.... Periuk yang saya masak dari tadi hanya berisi batu untuk mendiamkan anak-anak.... Biarlah mereka fikir bahawa saya sedang memasak makanan...dan saya berharap supaya mereka akan berhenti menangis kerana keletihan dan tertidur....” Jawab ibu tua itu.

“Apakah ibu sering berbuat begini ?”  Tanya Umar ingin tahu.
“ Benar,... Saya hidup sebatang kara.... tidak memiliki saudara-mara dan suami tempat bergantung.”Jawab ibu tadi dengan nada kesal sambil berusaha menyembunyikan keperitan hidupnya.

“Mengapa ibu tidak meminta bantuan daripada Khalifah?... Bukankah beliau boleh membantu dengan memberikan wang dari Baitulmal ?... dengan cara itu akan dapat membantu meringankan kehidupan ibu dan anak-anak.” Nasihat Umar...

“Khalifah telah berbuat zalim pada kami anak-beranak…” Jawab si ibu... 

Terkejut Saidina Umar mendengarkan ucapan Ibu tua itu tadi, “ Bagaimana khalifah telah berbuat zalim pada ibu?...terangkan kepada saya.. ” Saidina Umar ingin tahu.

“ Saya sangat kesal dengan pemerintahannya.... Beliau seharusnya melihat keadaan rakyatnya dalam kehidupan nyata,..... terdapat ramai lagi orang yang senasib dengan saya...” Umar langsung menangis mendengar keluhan wanita tersebut.

Saidina Umar telah kembali ke Madinah menuju ke Baitulmal.... Beliau sendiri yang telah mengeluarkan makanan daripada Baitulmal dan membawanya pada malam itu juga ke rumah ibu tua tersebut tanpa bantuan orang lain...

Ibu tua tersebut menyatakan terima kasih yang tidak terhingga dan mengatakan kepada Saidina Umar,...." sepatutnya kamu lah yang layak menjadi khalifah ".... Dia tidak tahu bahawa yang menolongnya itu adalah Khalifah Umar.

Keesokannya Saidina Umar  telah memanggil Ibu tua itu untuk datang menghadapnya... Alangkah terkejutnya Ibu tua itu apabila melihat Khalifah zalim yang disangkakan-nya itu adalah sebenarnya lelaki yang datang membantunya pada malam tadi.....

Khalifah Umar telah menghadiahkannya wang serta keperluan hidup, dan merayu kepadanya supaya berjanji untuk tidak  MENDAKWANYA di hadapan Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Wallahu 'aklam.


Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Kisah-kisah Saya Pilih Damai.. Isla...

1 comment:

Anonymous said...

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi

rezeki Allah bagi cukup untuk manusia di bumi ni
tapi ada mansuia jenis tomak suka simpan harta

tanpa peduli ornag susah di sekeliling negeri

pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: "Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri,
maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails