Wednesday, April 24, 2019

PAS Bela Nasib Peniaga Medan Selera Semarak, KL



KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Setiawangsa tampil memberikan pembelaan kepada para peniaga yang kini berhadapan isu premis mereka akan dirobohkan oleh pemaju di Medan Selera Semarak, di sini.
Menurut Ketua Penerangan PAS Setiawangsa, Ustaz Ubaid Akla, penjualan tanah hak milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu telah berlaku sebelum tahun 2016 lagi ketika zaman Kerajaan BN.
Akibatnya menurut beliau, para peniaga menjadi mangsa apabila tidak diberi layanan sewajarnya seperti tapak baharu atau pampasan berpindah, sedangkan mereka sudah berniaga di situ sejak tahun 1980 lagi.
"Sehingga kini, pihak pemaju iaitu Paragon City Development Sdn Bhd dan Datuk Bandar DBKL hanya berjanji mulut sahaja kepada pihak peniaga tanpa sebarang dokumen bertulis bagi menyelesaikan kemelut ini.
"Beberapa sesi penerangan dan perbincangan telah diadakan bersama para peniaga sehingga tertubuhnya Jawatankuasa Bertindak Peniaga Medan Selera Semarak bagi memudahkan urusan komunikasi.
"Juga sebagai kesepakatan antara peniaga. Ia sekali gus menjadi tanda kesungguhan para peniaga menuntut pembelaan sewajarnya dari pihak berkenaan," maklum beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu katanya, pihak beliau bersama wakil Peguam PAS, Izzat Ghazali telah memberi konsultasi perundangan bagi membantu para peniaga mendapat keadilan dengan memohon injuksi di mahkamah.
Jelas beliau, injunksi bagi menghalang pemaju merobohkan medan selera itu sebelum rundingan menang-menang dicapai semua pihak akan diajukan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, jam 10 pagi esok.
Terdahulu, semua pihak yang memperjuangkan isu itu telah mengadakan majlis munajat dipimpin Naib Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Dr Zuraini Hashim di Surau Dhiyaul Islah, Kampung Semarak, di sini semalam.
Mereka berdoa dan meletakkan harapan agar Allah S.W.T memudahkan urusan mereka sehingga pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL dan para pemaju memberi keadilan kepada peniaga tersebut. - HARAKAHDAILY 23/4/2019

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails