Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center juga mendapati, hanya 39 peratus pengundi memberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) rating positif pada Mac lalu.
Merdeka Center menerusi kenyataan hari ini berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan boleh dilihat pada peningkatan jumlah peratusan yang menganggap ‘negara menuju ke arah yang salah’ iaitu daripada 24 peratus pada Ogos 2018 kepada 46 peratus pada Mac lalu.
“Kemerosotan ini boleh dikaitkan kepada tiga faktor, iaitu keadaan ekonomi seperti dilihat pengguna biasa, tanggapan tentang pencapaian pentadbiran kerajaan dan kebimbangan mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu serta layanan adil kepada kaum-kaum lain di Malaysia.
“Hasilnya kepuasan umum terhadap pengurusan ekonomi kerajaan menurun daripada 60 peratus pada Ogos 2018 kepada 40 peratus pada Mac lalu,” katanya.
Menerusi kaji selidik itu juga mendapati, hanya 34 peratus pengundi percaya negara kini berada di landasan yang betul, berbanding 55 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2018.
“Sentimen ini didapati lebih rendah dalam kalangan orang Melayu dengan menyaksikan hanya 24 peratus percaya negara bergerak ke arah yang betul,” katanya.
Kajian oleh Merdeka Center terhadap 1,204 responden itu juga mendapati 67 peratus pengundi percaya kerajaan PH memerlukan lebih masa untuk menunaikan janji pilihan raya mereka manakala 30 peratus pula sebaliknya.
Sementara itu, keadaan ekonomi kekal sebagai isu paling penting dalam kalangan pengundi iaitu sebanyak 67 peratus, konsisten dengan kajian sebelum ini.
“Diikuti oleh isu hubungan antara kaum seperti kontroversi penempatan semula kuil Hindu di USJ serta debat awam mengenai cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akhir tahun lalu.
“Kajian juga menunjukkan sikap awam terhadap beberapa dasar dan cadangan kerajaan dengan antaranya 69 peratus tidak bersetuju dengan rancangan menghapuskan hukuman mati mandatori, 50 peratus tidak bersetuju had usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan 40 peratus bersetuju untuk menyokong rancangan mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” katanya.-UTUSAN ONLINE.