Monday, April 22, 2019

Arab Cari Senjata, Barat Cari Minyak -Presiden PAS



FIRMAN Allah:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103)
“Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah pecahan); dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, ketika kamu dahulunya (jahiliah sebelum menganut Islam) bermusuh-musuhan, lalu Allah menjinakkan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam itu), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kesesatan kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada Neraka itu (disebabkan nikmat Islam itu). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat hidayah (petunjukNya(”. (Surah Aali ‘Imraan: 103)
Sabda Rasulullah S.A.W.:
لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ (البخاري ومسلم وابن ماجه)
“Jangan kamu kembali semula (menyeleweng kembali kepada jahiliah) melakukan kekufuran (kufur aqidah atau kufur nikmat) selepas ku (wafat), lalu memancung leher (bunuh membunuh) sesama kamu (berperang saudara)”. (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
Hadis daripada Thauban dan Abu Hurairah R.A.menceritakan:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها»، فقال قائل: ومِن قلة نحن يومئذ؟ قال: «بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم، وليقذفن في قلوبكم الوهن»، فقال قائل: يا رسول الله وما الوهن؟ قال: «حب الدنيا، وكراهية الموت (أخرجه أحمد وأبو داؤود)
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Berlakunya zaman umat-umat yang lain melingkungi kamu laksana perakus makanan mengelilingi hidangan yang lazat (dicubit dan dimakannya)". Maka ada seorang yang bertanya: "Adakah kerana sedikit jumlah kita pada masa itu?". Sabdanya ‘’Bahkan jumlah kamu ramai, tetapi laksana sampah yag dihanyutkan oleh aliran banjir, di mana Allah mencabut kehaibatan kamu yang dirasakan oleh musuh kamu, dicampak ke dalam rasa kamu sifat kehinaan". Seorang bertanya: "Apakah sifat kehinaan itu?’’. Sabdanya: "Terlalu cintakan keduniaan dan takut kepada mati".
Islam pada zaman awalnya telah berjaya menyatukan umat, khususnya umat Islam sendiri dan seterusnya masyarakat majmuk berbagai agama dan bangsa, berkonsepkan persaudaraan Islam laksana satu jasad, rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua, bukan sekadar teori atau retorik, bahkan berpijak di bumi kenyataan selama beberapa dekad dan abad, ketika umat Islam beramal dengan seluruh ajaran Islam yang sempurna itu.
Maka apa yang berlaku di zaman kelemahan, adalah penganut Islam sendiri tidak beramal dengan ajaran Islam sepenuhnya dan seterusnya jahil teradap agama sendiri, lalu terpengaruh dengan teori, ideologi dan penyelesaian yang tiada kaitan lagi dengan Islam, walaupun diletak jenama Islamnya, sama ada kerana jahil atau sesat atau kerana ditipu orang atau menipu diri sendiri.

Alangkah benarnya Allah pada setiap firman dan hukumNya. Allah pula menjadikan benar itu sifat wajib kepada para RasulNya A.S, khususnya Rasul Akhir Zaman Nabi Muhammad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh manusia. Amaran tersebut benar-benar berlaku menjadi kenyataan sehingga sekarang selepas wafatnya Rasulullah S.A.W., walaupun berlalu panjang masanya beberapa abad, menunjukkan petunjuknya sesuai di sepanjang zaman dan sangat releven dengan situasi terkini.


Hari ini negara Arab yang awal Islamnya itu dilimpahi darah yang mengalir, bukan lagi kerana diserang musuh yang datang menceroboh dan menjajah, tetapi malangnya lebih parah lagi disebabkan perang saudara yang pernah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
Kini berlakunya perang saudara seagama dan sebangsa, di samping pertembungan masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama yang berlainan. Saudara seagama dan sejiran yang bersaudara bersama konsep Islam yang dianut dengan jayanya, kini dianggap musuh yang boleh dibunuhnya dengan kejam.
Adapun negara haram Zionis Israel yang diwujudkan berakidah fanatik Yahudi Zionis dengan pertolongan Barat itu, dianggap sahabat yang ditumpahkan kasih sayangnya yang menggila, sehingga lupa daratan dan seperti hilang akal sihatnya. Maka petunjuk Islam diketepikan, dibuangnya sifat-sifat rahmat dan kasih sayang kurniaan Allah, dan kembali semula kepada sifat-sifat jahiliah yang keji dahulu.
Usaha perdamaian yang dilakukan oleh semua pihak, termasuk PBB gagal, kerana setiap usaha perdamaian disyaratkan bersama negara perompak dan lanun itu.
Hilangnya sifat persaudaraan Islam dan kemanusiaan, sepatutnya berpegang teguh dengan Islam dan berjihad menghadapi keganasan Israel tanpa mengira Sunni atau Syiah kerana kaum itu paling ganas dan pernah membunuh para nabi serta lebih layak digelar sebagai pengganas dan pelampau.
Hamas dan Tanzim Jihad daripada Sunni, sama juga Hizbullah daripada Syiah dimasukkan ke dalam senarai pengganas mengikut kehendak negara Barat yang sangat bersahabat dengan Zionis Yahudi. Adapun perompak Israel dan sekutunya dikatakan demokratik, walaupun merekalah diktator dan menjadi pengarah di belakang tabir setiap krisis yang dicetuskan sama ada secara nyata atau hantu secara sembunyi.
Perang yang dinyalakan dan diapi-apikan di atas nama mazhab Sunni yang wajib melawan Syiah atau Syiah melawan Sunni, atau semangat fanatik kebangsaan Arab dan bukan Arab, sehingga berperang pula di antara Sunni dengan Sunni, begitu juga Syiah dengan Syiah.
Padahal adanya berbagai agama, mazhab dan kaum yang berdekatan itu sudah wujud sejak tamadun awal sebelum kedatangan Islam di akhir zaman dan berterusan bersama Islam sehingga kini.
Adapun mazhab Syiah dan Khawarij sudah ada sejak zaman para sahabat dan tabiin lagi, tetapi kalau mencetuskan peperangan, akhirnya dapat dipadamkan atau diredakan, kerana dikira oleh generasi awal sebagai masalah dalaman, walaupun ada yang berbeza dalam perkara cabang hukum agama. Ada yang sederhana dan ada yang melampau sesatnya, kerana masalah dan pergolakan seperti itu wujud dalam semua mazhab.
Para ulama muktabar lebih mengambil pendekatan secara ilmu, sehingga dipertemukan ulamanya bermuzakarah dalam majlis ilmu mengikut budaya dan adabnya. Semua pendapat dan ijtihad yang berbeza disebut dalam kitab-kitab muktabar untuk dikaji semula.
Walaupun ada yang salah dan berlaku ketegangan sehingga berperang, tetapi mereka tetap bersatu menghadapi musuh yang sama dan tidak menghalang berkembangnya pengaruh dakwah Islam dan ilmunya dengan pesat ke seluruh pelosok dunia. Sehingga kitab-kitab tafsir ilmu Al-Quran dan Hadis serta hukum hakam dicatatkan dalam semua mazhab dan sanadnya ada yang bercampur untuk menjadi bahan muzakarah. Malangnya zaman mutakhir ini berlakunya penyakit fanatik mazhab.
Berlaku perubahan dalam perjalanan sejarah. Iran yang menjadi lubuk ilmu ahli Sunnah dahulunya melahirkan Abu Hanifah, Imam Hanafi, Al-Ghazali pengarang kitab Ihya', Al-Syirazi pengarang Al-Muhazzab, Al-Jurjani pengarang Al-Taarifat dan lain-lain. Kemudiannya Iran dikuasai oleh Kerajaan Sofawiyyah yang menjadikan Syiah Imamiyyah sebagai mazhab negara untuk berpisah dengan negara Sunni, namun semua mazhab tetap berada dalam masyarakatnya sehingga kini.
Mesir yang dikuasai Syiah pula menubuhkan Universiti Al-Azhar untuk menyebar mazhab Syiah sehingga bertukar menjadi Sunni.
Di Yaman pula bercampur pengaruh mazhab Sunni Syafie dan mazhab Syiah Zaidiyyah, kerajaannya pernah dikuasai oleh Raja Zaidiyyah tetapi rakyatnya dominasi Sunni Mazhab Syafie, bertukar kepada republik dominasi Sunni dan kini berperang lagi.
Turki berkerajaan Uthmaniyyah, feqahnya bermazhab Sunni Hanafi dan akidahnya Sunni Maturidiyyah, pernah menjadi kuasa besar beragama Islam, menguasai sebahagian besar wilayah negara Islam atau berada di bawah naungannya, sehingga beberapa abad berperang dengan Barat Eropah dan Rusia yang bersemangat Salibiyyah dan terpaksa berperang pula menghadapi Shah Kerajaan Sofawiyah Iran bermazhab Syiah Imamiyyah dan Yaman yang rajanya bermazhab Syiah Zaidiyah, seterusnya berperang pula dengan Najad bermazhab Sunni Wahabi yang menggulingkan Ibnu Rasyid di bawah naungan Turki, kemudiannya ditentang oleh Syarif Husain Makkah bermazhab Sunni bersemangat Nasionalis Arab.
Di masa mutakhir ini pada awal abad yang lalu, raja-raja Arab dan ketua- ketua suku kaum yang tidak berpuas hati kepada kerajaan Uthmaniyah dengan menjadikan isu mazhab feqah Hanafi, akidah Sunnah Maturidiyyah dan tidak berbangsa Arab, maka ditolaknya Khalifah Uthmaniyah khususnya kerana mazhab dan akhirnya kerana semangat kebangsaan Arab yang diapi-apikan, dan mengisytiharkan Revolusi Arab menentang Uthmaniyah yang dikira penjajah pula.
Sultan Abdul Hamid, Khalifah Uthmaniyah terakhir berusaha bagi menyatukan umat Islam dengan meniupkan semangat persaudaraan Islam dan melancarkan Projek Jalan Kereta Api Hijjaz. Projek itu telah dilaksanakan sebahagian besar fasa pertama sehingga berjaya membina landasannya sampai ke Madinah, perbelanjaannya termasuk sumbangan wakaf daripada para hartawan Islam, projek dirancang seterusnya sehingga sampai ke India.
Malangnya para pejuang revolusi Nasionalis Arab melakukan sabotaj dengan bantuan senjata Barat dan agennya serta mengheret Arab menentang Turki yang terseret ke dalam Perang Dunia Pertama. Sejarah mencatatkan betapa tokoh perisikan Barat seperti Lawrence of Arabia, Macmahon seorang diplomat dan General Edmund Henry Hynman Allenby membantu Arab menentang Turki itu.
Projek Landasan Kereta Api itu mendahului Kesatuan Eropah, tetapi diletupkan oleh pejuang Arab. Saki bakinya seperti gerobak dan rel masih ada di Madinah, sepatutnya dikunjungi oleh para jamaah haji dan umrah supaya diambil iktibar. Namun si badawi lebai malang Arab sangat gembira sekadar menyatakan bahawa sehingga kini kayu-kayu landasan peninggalan tidak habis digunakan untuk merebus air bagi minuman teh panas yang menjadi kebanggaan mereka. Hanya sekadar itu sahaja pencapaian otaknya.
Arab dibekalkan senjata dan mengizinkan tentera Barat menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah. Hadiahnya adalah penubuhan negara haram Israel dan negara Arab dipecahkan dan dibahagikan seperti faraid daripada khilafah yang dimatikan itu, kepada penyokong yang menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, dengan penanaman bom jangka politik menempah krisis mazhab, agama, keluarga dan krisis sempadan kerana berebut hasil minyak untuk dijual bagi mempertahankan takhta, harta dan tujuan dunianya.
Di tanah air Nusantara ini, ada sejarahnya juga bagi umat Islam, apabila satu kumpulan kaum Muslimin daripada India Muslim, Melayu dan Jawa yang berkhidmat dengan tentera British di Singapura yang dipaksa supaya berperang menentang tentera Islam Turki dan Arab, telah memberontak di pengkalan Singapura, namun British yang kalah diselamatkan oleh Tentera Setia Negeri (TSN) Johor.
Ustaz Nur Alam dan peniaga Gujarat Kasim Ali yang telah membangkitkan semangat jihad itu telah dijatuhkan hukuman gantung dan tentera yang ditawan ditembak mati. Mereka terdiri daripada seramai 815 askar India Muslim dan 100 askar Melayu dan Jawa (Peristiwa Dahagi 1915). Ini menunjukkan bahawa Islam di rantau ini tidak boleh ditipu pada masa itu.
Arab boleh menerima Kamal Artaturk dan Shah Iran bermazhab Sekular paling ekstrem yang mengiktiraf Israel dan menjalinkan hubungan rapat dengannya. Kamal Artartuk menukar tulisan Al-Quran kepada huruf Latin sehingga berusaha mengalunkan azan solat dalam Bahasa Turki. Turki dan Iran hidup secara Liberal termasuk memberi lesen kepada kumpulan LGBT. Maka pada masa itu begitu dikira negara sahabat yang akrab.
Kini Turki disenaraikan sebagai musuh, apabila Erdogan bersama parti AK yang memerintah melakukan perubahan secara demokrasi, merungkai kuasa tentera dan kongkongan konsep Sekular terhadap Islam, menukar polisi kepada mengadakan hubungan bagi membantu kumpulan perjuangan Palestin yang berkonsepkan Islam, khususnya Hamas dan Jihad daripada kalangan Sunni.
Maka Turki mula diuar-uarkan melindungi pengganas, kecaman lebih keras diberikan terhadapnya apabila merapatkan hubungan dengan Iran dalam agenda yang sama membantu Palestin, memulih keamanan di Syria dan mengadapi Israel. Sehingga berlaku tindakan terhadap Turki secara terbuka, apabila usaha rampasan kuasa tentera yang melibatkan beberapa negara Arab bersama Isreal dan sekutunya.
Perlu difahami bahawa Erdogan dan Turki yang dimusuhi oleh Arab kerana menyelamatkan negaranya daripada kepompong sekularisma yang dikawal oleh tentera bagi pihak Barat. Keadaannya berbeza dengan Erdogan jadian di Malaysia yang mahu mengheret negara supaya berkiblat politiknya ke arah New York.
Adapun sikap terhadap Iran di zaman Shah dahulunya yang dianggap Syiah sebagai saudara Muslim yang dikasihi, menjadi ahli OIC dan di antara jamaah haji paling ramai di Makkah dan para qarinya seringkali menjadi johan. Pada masa itu juga, Iran menjadi salah satu pengkalan Zionis terbesar bagi dunia Islam, bukan sekadar hubungan yang rapat dengan Israel.
Tiba-tiba kini bertukar secara automatik menjadi musuh nombor satu kerana Syiah, apabila muncul pemimpin yang dinamakan sebagai Imam, mengikut istilah politik Islam semua mazhab. Istilah Imam yang digunakan dalam masyarakat kita bermazhab Sunni di zaman mutakhir hanya untuk sembahyang dan akad nikah sahaja.
Apabila Imam sudah berpolitik, menutup pengkalan Zionis, memutuskan dan mengharamkan negara Israel, mengajak negara Arab kembali kepada persaudaraan Islam mengikut mazhab masing-masing, memanfaatkan kekayaan untuk membina kekuatan membela rakyat dengan pembangunan negara mencapai teknologi tinggi dan mampu menentang Israel secara berdikari bersama umat Islam, dan menghidupkan konsep Taqrib Mazhab bermuzakarah secara ilmu yang dimulakan oleh Jamaludin Al-Afghani dan Muhammad Abduh, Hasan Al-Bana dan Syeikh Mahmod Shaltut.
Usaha yang dilakukan melalui ijtimak para ulama di bawah OIC dengan meletakkan tujuan kesatuan di atas semangat perpaduan ummat, maka dikumpulkan ulama dan mengiktiraf lapan mazhab umat Islam, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Zahiri, Imamiyyah Jaafariyyah, Zaidiyah dan Ibadi, yang diisytiharkan di Muktamar Makkah. Namun segala usaha itu dianggap tidak ikhlas, tetapi bersama Israel dan Barat itu ikhlas, sehingga sanggup bersatu menggunakan Saddam Hussain bagi menghancurkan Iran yang diuar-uarkan bahaya Syiahnya sebaik sahaja muncul tahun 1979. Akhirnya bertindak ke atas negara Qatar yang meninggalkan Blok Arab yang bermusuh dengan jirannya.

Tanah Arab itu menjadi tempat perlumbaan di kalangan syarikat Barat yang mencari gali dan mengambil hasil petroleumnya, bagi keperluan industri yang makin pesat khususnya bagi tujuan peperangan, ekonomi dan ketamakan mencipta alat-alat yang lebih canggih bagi keperluan peperangan melebihi perbelanjaannya daripada keperluan masyarakat, berlumba mencapai teknologi tinggi dalam segala-galanya sehingga melampaui batas memelihara kesihatan dan alam sekitar, sama ada melalui ujian atau pengeluarannya tanpa sempadan.


Arab pula cukup dengan mendapat duit untuk membeli senjata yang disyaratkan tidak menjadi pengganas yang ditakrifkan tidak boleh mengatasi Israel, kerana perlu menjaga keselamatan, sumber tenaga dan perjalanannya yang dikhuatiri jatuh kepada pengganas (kalangan yang menentang Israel).

Maka Arab membeli senjata untuk berperang sesama sendiri dan Barat pula membekalkan senjata untuk menjaga telaga-telaga minyak supaya Arab berperang saudara bagi menjaga keamanan Israel yang dilantik menjadi polis yang menjaga kepentingan mereka bersama.


"Islam Memimpin"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Syaaban 1440 / 22 April 2019 - HARAKAHDAILY 22/4/2019

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails