Saturday, November 17, 2018

Rotan Murid Enggan Solat, Ustaz Dipenjara 6 Bulan, Denda RM2,000


MUHAMMAD Adib (dua dari kiri) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atas pertuduhan mencederakan kaki seorang pelajar, Ogos tahun lalu. - NSTP/Aizuddin Saad

KAJANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda maksimum RM2,000 terhadap seorang ustaz selepas dia didapati bersalah mencederakan kaki muridnya yang berusia 11 tahun dengan menggunakan rotan kerana murid lelaki itu enggan menunaikan solat.
Muhammad Adib Abd Halim, 24, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Afidah Idris, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dia, yang dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini (tarikh jatuh hukum). Tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili Muhammad Adib bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.
Namun, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal ​​​​​​​membayar denda dan Muhamad Adib membayar denda terbabit.
Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Muhammad Adib, yang berdiri di luar kandang tertuduh berpakaian baju Melayu hijau dan berkopiah putih, bagaimanapun kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.
Pada 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Adib mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, di sini, pada 2.25 petang, 16 Ogos 2017.
​​​​​​​Terdahulu, Khairul Amin merayu supaya anak guamnya hanya diberikan perintah bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, mengambil kira Muhammad Adib adalah pesalah muda yang kali pertama dihadapkan ke mahkamah selain dia baru saja mendirikan rumah tangga Mei lalu dan perlu menyara isterinya selain tiada rekod kesalahan lain.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin pula memohon hukuman berat kerana walaupun tertuduh masih muda, dia sudah berada pada usia matang yang boleh membezakan perbuatan baik dan buruk, selain untuk memberi pengajaran. - BERNAMA

3 comments:

Zulkhairi said...

Bang, merotan untuk 'mengajar' dan 'merotan' sampai mencederakan tu besar perbezaannya. Polis dan hakim tu ramainya yang islam. Kalau tak pun Islam -- semuanya faham pentingnya didikan agama. Jadi kalau betul la si Ustaz ni rotan untuk mengajar ... tak akannya sampai jatuh hukum macam ni

Anonymous said...

Bang,ibu bapa yang bela anak pun ramai. Walaupun anak bersalah ttp tetap menyalahkan orang yg mengajar. Mereka pun islam, cuma kadang2 kualiti islamnya berbeza. Ramai anak yg dirotan berbekas dan luka tapi ramai yg berjaya selepas itu. Orng zaman dulu amanatnya jangan patah riuk udah.

Anonymous said...

Adakah cara islam merotan orang yg tidak semayang?...tak ade cara yg berhemah di ajar oleh nabi?...nabi suruh pukul anak sendiri bukan pukul anak orang...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails