Mengikut keputusan tidak rasmi, beliau mengumpul 66,458 undi daripada kesemua 14 nege­ri yang mengadakan pemilihan PKR sejak 22 September lalu sehingga semalam, mengatasi Rafizi Ramli yang mengumpul 61,845 undi, iaitu majoriti 4,613 undi.
Perbezaan undi dijangka be­­r­ubah selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR membuat kiraan semula undi selain di­tambah dengan keputusan pe­milihan di Cabang Julau, Sarawak yang kontroversi ekoran dakwaan berlaku manipulasi untuk memberi kemenangan kepada Rafizi.
Utusan Malaysia bagai­ma­­napun difahamkan ke­pu­­tusan Cabang Julau telah diperolehi, yang memihak kepada Rafizi dengan majoriti lebih 1,000 undi, tetapi gagal membantunya mengatasi Mohamed Azmin.
Kem Rafizi bagaimanapun ma­sih mengharapkan keajai­b­an hasil kiraan semula undi dan keputusan rasmi pemilihan Cabang Julau, bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu ‘merampas’ jawatan Timbalan Presiden.
Namun, berdasarkan trend hanya 20 peratus ahli di sesuatu Cabang yang turun mengundi, diramal sukar buat Rafizi untuk menerima majoriti lebih 4,000 undi di Julau kerana jumlah itu memerlukan lebih 30 peratus da­ri­pada 13,000 ahli PKR Cabang Julau turun mengundi serta syarat kesemua mereka memilih Rafizi.
Lebih malang buat kem Rafizi apabila kesemua jawatan utama iaitu Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Maj­lis Pimpinan Pusat (MPP) dido­minasi oleh orang Mohamed Azmin.
Sedikit kelegaan buat Rafizi adalah kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presi­den pa­ling kanan, selain Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Ha­mid dan Ahli Parlimen Setiawangsa yang masih berada dalam senarai 20 ahli MPP.
Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan beberapa hari lagi, sebelum Kongres PKR diadakan dari 16 hingga 18 November ini di Shah Alam, Selangor.
Seperti diramalkan, Se­langor menjadi penyumbang utama kemenangan Moha­med Azmin yang menerima 4,000 undi lebih tinggi berbanding Rafizi, manakala Perak memberi majoriti tertinggi kepada Rafizi.
Pemerhati politik melihat ke­menangan Mohamed Azmin mungkin boleh memberi tekanan kepada Anwar ekoran persepsi liar kononnya Presiden PKR itu lebih selesa bersama Rafizi, selain tidak menolak kemungkinan peralihan kuasa yang lebih cepat untuk Mohamed Azmin menjadi Perdana Menteri selepas Anwar. (Utusan)