Friday, November 16, 2018

Pulangkan Hak Eksplorasi Minyak Kepada Sabah

Arthur Joseph Kurup
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kerajaan persekutuan diminta memulangkan hak eksplorasi minyak kepada Sabah jika enggan atau tidak mampu membayar royalti 20 kepada negeri ini.
Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup berkata, melalui cara itu Sabah boleh menggunakan hasil minyak tersebut untuk tujuan membangunkan negeri yang pada masa ini jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan di Semenanjung.

Katanya, Sabah hanya meminta royalti sebanyak 20 peratus sahaja daripada pendapatan kasar hasil petroliumnya bagi dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan.

“Kita perlu ingat minyak itu milik Sabah. Sekiranya Kerajaan persekutuan ataupun Petronas tidak mampu untuk membayar royalti yang diinginkan, pulangkan atau kembalikan hak eksplorasi ini kepada Sabah supaya kami boleh mengurus hasil minyak kami sendiri.
“Isu ini (royalti minyak) sentiasa digunakan untuk pancing undi apabila dekat pilihanraya. Sudah seringkali disebut, seringkali dikaji dan banyak kali dijanji, Jawatankuasa Kerajaan pun sudah bertukar ganti malahan sekarang ini ditubuhkan lagi jawatan kuasa yang baharu untuk terus mengkaji,” katanya ketika ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan di Dewan Rakyat.

Malah kata Arthur, pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang baru lalu pun isu royalti minyak kepada Sabah turut dicanang oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Katanya, royalti minyak merupakan antara punca pendapatan utama Sabah iaitu sebanyak 37.5 peratus daripada anggaran punca pendapatan Sabah bagi tahun 2019.

“Dengan kadar Royalti lima peratus sekarang, Sabah dijangka hanya akan mendapat sebanyak RM1.6 billion sahaja. Dan saya tekankan sekiranya royalti minyak dinaikan, ia hendaklah dikira daripada pendapatan kasar bukan pendapatan bersih.
“Amalan serta definisi royalti adalah bedasarkan bayaran daripada pendapatan kasar kepada si pemilik yang membenarkan pihak lain mengurus atau eksplorasi sumber tersebut. Tambah lagi yang diamalkan selama ini adalah daripada pendapatan Kasar.
“Jadi kenapa perlu diubah definisi sekiranya royalti dinaikkan kepada 20 peratus? Kalau kita berbuat demikian, ia bukan lagi royalti, tetapi bayaran daripada bahagian keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, jika Sabah mendapat royalti 20 peratus, ini merupakan pendapatan hasil minyak sebanyak empat kali ganda daripada yang ada sekarang yang sudah tentu hasil itu dapat digunakan untuk memajukan lagi negeri Sabah.

“Saya akin akan lebih mampu untuk mengurus pembangunannya sendiri,kebanyakkan masalah infrastruktur asas boleh dikurangkan dan tidak perlu merujuk ke Putrajaya untuk mendapatkan peruntukkan,” katanya.

Selain itu Arthur turut menggesa supaya kerajaan persekutuan mengembalikan 40 peratus pendapatan dari Sabah seperti yang termaktub dalam Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ini ekoran terdapat banyak syarikat yang beroperasi di Sabah dan mengaut keuntungan tetapi membayar cukai di Semenanjung.

“Jadual 10 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Sabah berhak untuk mendapat 40 peratus daripada hasil ini. Sekiranya ini dilaksanakan, pendapatan Sabah untuk pembangunan akan bertambah berbillion-billion ringgit setiap tahun,” katanya.

Arthur juga berharap jawatankuasa MA63 yang baharu ditubuhkan oleh kerajaan boleh mengkaji beberapa perkara utama yang membabitkan Sabah termasuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam persekutuan Malaysia dengan mengembalikan perkataan Asal ke atas Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan supaya Sabah akan menjadi rakan kongsi dan bukan negeri yang sebaris seperti negeri yang lain di persekutuan Tanah Melayu.

“Ini bukan sesuatu yang baharu, kita hanya minta untuk dikembalikan sahaja. Sedangkan kerajaan sekarang sibuk mencadangkan pindaan perlembagaan baharu seperti menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, mempertimbangkan melaksanakan kad pengenalan ERD dan sebagainya yang saya tidak setuju.
“Kita selesaikan dahulu masalah di hadapan kita. Maka saya mempunyai harapan yang tinggi bahawa pindaan ini boleh dibuat dengan serta merta dalam mesyuarat ini, tidak perlu banyak kajian dibuat. Supaya kita mematuhi perlembagaan asal dan MA63,” katanya. - UTUSAN ONLINE

2 comments:

Anonymous said...

Hutang negara beratus billion sibok nak royalti....kerajaan persekutuan tanggong kos oeparasi dan urusan keselamatan pendidikan kesihatan dll lebih besar dari royalti....

Sabah boleh mintak cari gali minyak sendiri..

Anonymous said...

royalti blh diberi tp dgn pemantauan..kerana saki baki penyamun mungkin masih ada belum dibersihkn sepenuhnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails