Saturday, September 02, 2017

Lebih 20 Pelarian Rohingya Lemas.


 AFP - SEORANG lelaki Bangladesh menyentuh mayat kanak-kanak Rohingya yang ditemui terdampar semalam selepas sebuah bot karam di Sungai Naf.
COX’S BAZAR, Bangladesh – Pasukan pengawal pantai di Bangladesh menemui 17 mayat pelarian Rohingya semalam, kebanyakannya kanak-kanak yang lemas apabila bot mereka terbalik semasa melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Pertempuran antara pemberontak Rohingya dan pasukan keselamatan di negeri Rakhine memaksa sekurang-kurangnya 18,500 penduduk Rohingya mencari perlindungan di Bangladesh.
Pegawai-pegawai di Bangladesh berkata, semakin ramai penduduk Rohingya cuba menyeberangi Sungai Naf, sempadan semula jadi yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh dengan menaiki bot-bot usang.
Namun, ramai antara mereka turut menemui ajal kerana bot yang digunakan tidak mampu bertahan semasa arus deras.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) berkata kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 18,500 etnik Rohingya menyeberang ke Bangladesh sejak keganasan di negeri Rakhine tercetus enam hari sebelumnya.
Namun, kata IOM lagi, sebahagian pelarian itu tidak sampai ke Bangladesh.
Kelmarin, dua mayat wanita Rohingya dan dua kanak-kanak terdampar di Bangladesh selepas bot mereka terbalik.
Seorang pegawai tempatan, Nurul Amin Rohingya berkata, sebuah lagi bot pelarian Rohingya terbalik dan mengorbankan 17 mangsa.
“Kami menemui 17 mayat yang terdampar pada pagi ini (semalam),” katanya.
Sungai Naf yang memisahkan kedua-dua negara merupakan kawasan yang sempit, namun semakin ramai pelarian Rohingya cuba menyeberangi bahagian sungai yang lebih luas atau menyeberangi laut untuk masuk ke Bangladesh selepas Dhaka mengetatkan kawalan di sempadannya.
Bangladesh menempatkan seramai 400,000 orang Rohingya. Kebanyakan mereka tinggal di kem-kem serba daif dan padat di kawasan pantai dekat Cox’s Bazar. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails