Sunday, February 22, 2015

M'sia: Pengemis Cina, Syarikat, Professional, Canggih & Internasional.


Gambar hiasan.

BUKAN sekadar sindiket, tetapi syarikat! Rupa-rupanya pengemis China yang mungkin anda temui di sesetengah tempat tumpuan ramai ialah 'pekerja' daripada syarikat pengemis. Mungkin boleh juga disebut mereka dari syarikat professional, canggih dan internasional.

Guangming Daily melaporkan, sebuah syarikat berdaftar dari China telah menggunakan nama 'rombongan seni orang cacat' untuk merekrut ahli sebelum menghantar mereka mengemis di China dan negara-negara serantau.

Keadaan itu sekali gus menunjukkan kumpulan pengemis dari negara Tembok Besar itu bukan sahaja 'dikorporatkan' malahan 'diantarabangsakan'. Anggaran awal mendapati di negara-negara Asia Tenggara sahaja, kira-kira 500 pengemis China telah ditempatkan.

Di Jalan Alor, berhampiran Jalan Bukit Bintang di ibu negara yang menjadi tumpuan pelancong, beberapa sindiket pengemis Cina telah beroperasi di sana. Seorang pengemis yang mahu dikenali sebagai Sun berumur 28 tahun mendedahkan bahawa semua duit yang berjaya dikumpulkan akan dibahagi pada nisbah 50:50 iaitu separuh milik pengemis dan bakinya milik syarikat.

Sun berkata, setiap pengemis dapat mengumpul antara RM400 hingga RM1,500 sehari dengan 'bekerja' setiap hari tanpa cuti. Jika terlalu penat, maka pengemis dibenarkan memohon cuti sehari dalam seminggu.

Kata Sun, terdapat tiga kategori pengemis iaitu
  • pengemis cacat, 
  • pengemis seni yang menyanyi dan 
  • pengemis beranak yang membawa anak kecil.
"Bos di China juga merupakan orang kurang upaya, dia yang menguruskan visa supaya saya dapat mengemis di Malaysia," katanya kepada Guangming Daily.

Pengemis-pengemis dari China telah ditempatkan di pelbagai wilayah China, Hong Kong, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Walaupun Sun pernah berkhidmat dengan syarikat pengemis China, namun pengemis muda itu kini mengemis secara 'free lance' selepas bertekak dengan pihak pengurusan.

Katanya, pihak pengurusan sebelum itu asyik menyindirnya kerana hanya berjaya mengemis antara RM40 hingga lebih RM100 setiap hari. Keadaan itu seterunya menyebabkan Sun bergaduh dan bertumbuk dengan 'pengurus'. Jelasnya, jumlah duit yang dikumpulkan secara relatif kecil kerana dirinya tidak mempunyai kecacatan fizikal yang jelas berbanding pengemis lain.

Walaupun tidak cacat, saiz badan Sun adalah kecil iaitu hanya tinggi 143 sentimeter (cm) dan berat 35 kilogram (kg) menyebabkan pengemis ini nampak seperti murid sekolah rendah. Selepas berpisah dengan 'pengurus', Sun telah menggunakan duit sendiri untuk membeli alat untuk mengemis dengan menyanyi di kawasan tumpuan ramai di ibu negara.

Sun dari semasa ke semasa turut bekerjasama dengan seniman jalanan Melayu dan berkongsi tip yang berjaya dikumpulkan daripada pelancong dan orang ramai. Ditanya sama ada mahu balik negara asal, Sun berkata, dirinya pada awalnya berniat pulang ke China tetapi terpaksa membatal hasrat itu apabila dia dirompak sehingga dokumen perjalanan dan tiket penerbangannya hilang.

"Saya juga pernah dirompak dalam satu kejadian lain oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa diri sebagai polis sehingga saya kehilangan RM8 dan tuala," katanya. (IH/MG/GD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails