Thursday, February 26, 2015

DUN Chempaka: Bukti Pimpinan Najib Menurun. -Husam Musa


 Datuk Husam Musa
Husam Musa


PETALING JAYA: PAS menyifatkan Umno tidak berani berdepan dengan 'musuh tradisi' apabila parti itu memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang akan diadakan pada 22 Mac depan.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa mendakwa keputusan parti itu tidak meletakkan calon menunjukkan kekuatan Umno di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin menurun.

"Ini sekaligus membuktikan kata-kata keramat Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat): ‘Tak dok sebab demo nak lawan kawe’ menjadi kenyataan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor yang juga Exco Kelantan itu berkata meskipun Umno tidak bertanding, perpaduan ummah tidak akan berhenti dan ia perlu diteruskan dengan ketelusan dikala negara dihimpit dengan pelbagai masalah dalaman.

"Perpaduan Ummah hanya akan menjadi alat politik jangka pendek untuk menyelamatkan hayat politik individu dan parti tertentu semata-mata.
"Bahkan, sebelum ini Barisan Nasional (BN) juga gagal meletakkan calon di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan ia tidak membawa apa-apa makna kepada perpaduan ummah atau negara," katanya.

Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada Rabu, Najib mengumumkan Umno tidak akan meletakkan calon mereka pada PRK Cempaka. Keputusan itu dibuat setelah mendengar pendapat daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat pelbagai faktor kukuh yang memerlukan lebih tumpuan seperti pemulihan banjir dan kerja-kerja kebajikan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka akan diadakan pada 22 Mac depan manakala penamaan calon pada 10 Mac.

Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.  Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang merupakan Mursyidul Am PAS menang di kerusi Dun Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Bekas menteri besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails