Monday, December 08, 2014

Mahkamah Putus Penghakiman Ingkar Terhadap A.Hadi Awang 15 Disember Ini


Abdul Hadi Awang.

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Disember ini untuk keputusan permohonan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas pihak plaintif Mohd Shamsul dan defendan menamatkan penghujahan terakhir, kata peguam plaintif, A. Vasudevan kepada pemberita selepas sesi prosiding hari ini.

Pada prosiding itu, saksi plaintif, Luqman Ridhwan Mohd Nor, 26, daripada akhbar Kosmo, memberi keterangan manakala Abdul Hadi, selaku defendan, diwakili peguam Asmuni Awi. Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, bagaimanapun kira-kira 200 penyokong presiden itu hadir di perkarangan mahkamah.

Pada 28 Oktober lalu, Abdul Hadi dan ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan manakala plaintif memanggil saksi iaitu ADU NBandar, Azan Ismail dan wakil akhbar Kosmo bagi memberi keterangan.


Bagaimanapun wakil akhbar Kosmo tersebut tidak hadir sebanyak dua kali memberi keterangan (28 Oktober dan 23 November) sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tetapi waran tangkap itu tidak dapat dilaksanakan.

Pada 23 Februari lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Disember tahun lepas.

Pada 27 Februari lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails