Friday, November 21, 2014

Tahap Umur: Kita Di Mana, Apa Patut Buat?


 

UMUR seseorang adalah seperti berikut..

Tahap 1: Mumaiyiz

Tahap dimana seorang kanak-kanak sudah boleh membezakan baik dan buruk. Setiap insan berbeza dari segi umur mumaiyiznya. Mereka, jika berbuat salah tidak berdosa dan jika berbuat baik tiada pahala dan ibubapa menanggungnya sehingga sampai umur baligh.


Tanda baligh bagi anak lelaki sukar ditentukan secara tepat seperti datang mimpi, dan sebagainya. Bagi anak perempuan sehingga datang haidnya, maka jelaslah balighnya. Islam tidak menetapkan umur tertentu seperti yang dilakukan orang barat.

Tahap 2: Pemuda/pemudi

Bermula dari umur baligh hingga umur 40 tahun. Namun pada umur ini belum cukup kuat akalnya. Pun begitu sudah layaklah menanggung amanah dosa pahalanya. Jika ada sikap2 buruk di antara umur ini, masih ada ruang untuk berubah sebelum tibanya umur 40 tahun.

Tahap 3: Orang tua

(i) 40 tahun.

Bermula umur 40 tahun dan ke atas. Ketika ini seseorang telah dianggap sudah amat matang. Nabi SAW juga menerima wahyu ketika berusia 40 tahun, ketika akal manusia sudah stabil dan lengkap. Allah Maha Mengetahui hal keadaan hamba-hamba ciptaanNya.

Jika sesuatu tabiat buruk berterusan melepasi 40 tahun maka ditakuti dia akan mati dengan tabiat-tabiat buruk itu tanpa dapat mengubahnya lagi. Sebaliknya jika seseorang itu sudah dapat mengubah tabiat buruk itu sebelum umur 40 tahun, maka insyaAllah tabiat baik itu akan kekal sehingga waktu matinya.

Sabda Nabi SAW, bermaksud ;
  • Barang siapa yang telah dipanjangkan umurnya dalam keadaan Islam, beriman dan beramal soleh sehingga sampai umur 40 tahun, maka Allah akan memberi beberapa hadiah, iaitu RahmatNya kepada orang itu. Dia akan dijauhkan dari 3 jenis bala, iaitu gila(al junun), kulit terkopak-kopak (al juzam) dan penyakit sopak (al baros- kulit menjadi sebahagian putih-putih). 
(ii) 50 tahun.  

Apabila seseorang itu sampai umur 50 tahun dalam keadaan Islam, beriman dan beramal soleh, Malaikat tidak akan menulis amalan dosa-dosa kecil sedangkan amalan baik akan masih terus ditulis. 

Namun kita perlu ingat, bahawa Allah menyembunyikan keredaan dan kemurkaanNya, maka kita wajib berusaha menghindari dosa walaupun kecil, kerana ditakuti dosa-dosa kecil yang berterusan, menjadi kemurkaan Allah. Sebaliknya berusahalah berbuat baik walaupun kecil kerana itu yang menjadi keredaan Allah.

(iii) 60 tahun.   

Apabila seseorang itu telah mencapai umur 60 tahun dalam keadaan Islam, beriman dan beramal soleh, Allah hadiahkan rasa suka, cinta bertaubat, dan suka buat amal soleh kerana hendak kembali kepada Allah. Jika sebaliknya Allah tidak akan beri hadiah ini.

(iv) 70 tahun. 

Apabila telah mencapai umur 70 tahun Allah akan cinta kepadanya, bahkan seluruh Malaikat yang berada dilangit akan menyayanginya dengan syarat dia berterusan melakukan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Juga dia melalui umur-umur tersebut dan mendapat hadiah-hadiah seperti di atas.

(v) 80 tahun.  

Apabila telah mencapai umur 80 tahun, Allah akan terima segala amalan baiknya walaupun dia tidak sepenuhnya ikhlas dan Allah tidak catat amalan dosanya yang kecil. Sesuatu amalan yang baik semata-mata kerana Allah dikira ikhlas. 

Tapi amalan yang dibuat kerana Allah dan juga kerana manusia juga dikira oleh Allah sebagai ikhlas. Pada umur ini Allah terima amalannya walaupun dia lupa. Malaikat yang mencatat dosa tidak lagi mencatat dosa-dosanya, sedangkan pahala berterusan dicatat.

(vi) 90 tahun.   

Apabila telah sampai umur 90 tahun dengan syarat dia telah menerima hadiah-hadiah pada umur sebelumnya, maka Allah akan memberi RahmatNya, di mana Allah..
  1. Mengampunkan segala dosanya yang lalu kepada Allah seperti orang yang mengerjakan haji. Namun bukan dosanya kepada manusia. 
  2. Menahan dia di muka bumi supaya Allah tambah RahmatNya kepadanya. 
  3. Juga Allah memberi izin pada orang ini untuk memberi pertolongan pada ahli keluarganya di akhirat kelak, supaya terhindar atau dikeluarkan dari Neraka.
Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Mereka yang menjaga orang tua seperti di atas akan diRahmati Allah dan dipermudahkan urusannya.

Tips dari Saidina Ali Kw..
  • Jika ingin menjadi orang yang tidak nyanyuk sebaliknya menjadi orang tua yang bermanfaat dan segar otaknya maka semasa muda lagi,  amalkan amalkan membaca Al-Quran.
Tanpa kita minta, kita akan disayangi ramai orang apabila membaca Al Quran itu menjadi amalan yang berterusan.

Doa pada umur 40 tahun: (Surah Al-Ahqaf juzuk 26, ayat 15).
Bermaksud..

  • Ya Allah Ya Tuhanku berilah aku peluang, RahmatMu untuk aku bersyukur kepadaMu. Ya Allah atas segala Nikmat yang Kau kurniakan kepadaku dan juga..
  • Nikmat yang kau beri kepada kedua ibubapaku dan semoga Engkau beri peluang kepadaku untuk melakukan amal soleh yang mana Engkau redai. Ya Allah, semoga engkau memberikan zuriat yang baik dan soleh dan semoga Engkau mengislah (memperbaikkan) zuriatku ini. Sesungguhnya aku ini bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku ini dari kalangan orang-orang Islam (orang yang mengamalkan Rukun-rukun Islam)
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails