Friday, February 21, 2014

Pakatan Desak Kasino Tidak Dibina Di Johor

Pakatan Rakyat Johor mendesak kerajaan negeri agar tidak membina kasino di negeri itu, susulan daripada wujudnya desas-desus yang bertiup kencang mengenai pembinaan sebuah kasino di Johor.

"Kami mendesak kerajaan negeri Johor supaya memberikan jaminan kepada semua rakyat bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang pembinaan kasino di mana-mana pelosok di Johor," kata kenyataan bersama PAS, PKR dan DAP, hari ini.

Ia ditandatangani oleh  Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Negeri Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan kasino dibina di negeri itu.

Beliau berkata, walaupun manfaat ekonomi daripada kasino berlipat kali ganda namun kesan sosial dan rohani adalah terlalu berat dan tinggi untuk ditanggung masyarakat pelbagai budaya dan majmuk di negeri Pulau Mutiara itu.

Bagi pemimpin Pakatan Johor, pembinaan kasino akan membawa impak yang besar kepada sosio ekonomi negara  secara amnya dan rakyat Johor secara khususnya.

Kenyataan itu berkata, pelbagai masalah sosial dijangka berlaku yang akan memusnahkan institusi keluarga jika wujudnya sebuah kasino di Johor.

"Perkara ini tidak seharusnya dipandang semata-mata daripada segi keagamaan sahaja. Kegiatan berjudi juga merupakan sesuatu kegiatan yang tidak produktif," kata kenyataan itu.

Mereka berkata, perjudian tidak dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan masyarakat dan tidak dapat menghasilkan sebarang produk sahih yang membawa manfaat kepada masyarakat, sebaliknya, perjudian akan menyebabkan produktiviti masyarakat  merosot dan kehilangan daya saing.

"Atas sebab ini, sekali lagi kita mendesak kerajaan negeri Johor memberi jaminan kepada seluruh rakyat Johor bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan pembinaan kasino di negeri Johor," kata kenyataan itu. – 20 Februari, 2014. (TMI)

1 comment:

Johorean said...

Johor jgn cari bale, apa yg berlaku di S'pore patut dijadikan pengajaran, yg untungnya hanya berapa kerat, masalahnya pulak kpd semua. Lg pun dah ada yg di tengah laut tu pun.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails