Saturday, January 25, 2014

Putrajaya Mungkir Janji, Kata Majlis Gereja Malaysia

Hermen (kanan) berkata beban tanggungjawab berada di atas bahu Putrajaya untuk menguatkuasakan dasar yang mereka sendiri persetujui. 

Hermen (kanan) berkata beban tanggungjawab berada di atas bahu Putrajaya untuk menguatkuasakan dasar yang mereka sendiri persetujui.Majlis Gereja Malaysia (MGM) mendakwa Putrajaya memungkiri janji dalam penyelesaian 10 perkara apabila menegaskan kerajaan negeri boleh membelakangi janji yang dimenterai tersebut.

Merujuk kepada kenyataan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam, MGM menegaskan undang-undang negeri tidak boleh melanggar polisi yang dicapai dalam penyelesaian 10 perkara.

"Kristian di Malaysia mula melihat Putrajaya tidak konsisten dalam mematuhi janji yang dibuat kepada penganut ini," kata Setiausaha Agung MGM, Dr Hermen Shastri kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sambil melahirkan kekecewaan dengan pendirian Najib dalam isu berbangkit, Hermen berkata beban tanggungjawab berada di atas bahu Putrajaya untuk menguatkuasakan dasar yang mereka sendiri persetujui.

Najib menegaskan sebelum ini penyelesaian 10 perkara membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil adalah sah di Sabah dan Sarawak, termasuk di negeri lain yang tidak melaran penggunaan kalimah tersebut di kalangan bukan Muslim.

"Bagaimanapun, di seluruh negeri lain, penggunaan kalimah Allah bergantung kepada enakmen negeri tersebut, sebagai contoh di Selangor," kata Najib sebelum ini.
Hermen berkata Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan terpulang kepada Putrajaya untuk melihat sama ada ia telah dipatuhi.

"Kristian harus dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka dengan aman," katanya lagi.

10 daripada 13 negeri di Malaysia memiliki enakmen menghalang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan beberapa perkataan Arab lain, pengecualian hanya di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) menguasai lapan daripada 10 negeri tersebut, sementara Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR).

Baru-baru ini, kemelut kalimah Allah dibangkitkan semula susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara.

Susulan kontroversi tersebut, pelbagai pihak termasuk peguam mengkritik tindakan tersebut yang disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan larangan Kementerian Dalam Negeri ke atas akhbar Katolik Herald daripada menerbitkan menggunakan perkataan Allah dalam edisi Bahasa Malaysia.

Sepuluh peratus daripada 29 juta penduduk Malaysia adalah orang Kristian.

Hampir dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera dan sebahagian besarnya tinggal di Sabah dan Sarawak, di mana mereka secara rutin menggunakan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa asli dalam amalan agama mereka, termasuk menggambarkan Tuhan sebagai “Allah” dalam sembahyang dan kitab mereka.

Selain orang-orang Kristian Bumiputera dari Malaysia Timur, sesetengah daripada mereka telah berpindah ke Semenanjung untuk tinggal dan bekerja, Orang Asli Kristian di Semenanjung juga biasanya menggunakan bahasa Melayu dalam ibadah mereka. – 25 Januari, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails