Friday, January 24, 2014

KAFA Menengah ‘Tiket Tambahan’ Murid Dalami Pengajian Agama

tambah kafa
SHAH ALAM, 23 JAN: Penubuhan Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Menengah oleh kerajaan negeri disifatkan sebagai ‘tiket tambahan’ kepada murid yang sebelum ini tidak berpeluang mengikuti pengajian agama di sekolah menengah negeri atau persekutuan.

Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Udang, Fatimah Salleh, berkata sewajarnya peluang itu diraih ibu bapa untuk menempatkan anak mereka dalam aliran agama.

“Mungkin ramai di kalangan ibu bapa belum mengetahui perkara ini dan saya berharap peluang yang ada diraih supaya usaha memperkasa aqidah dan ilmu agama di kalangan anak muda itu tercapai,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, SRA Sungai Udang adalah salah sebuah daripada sembilan SRA yang disenaraikan dalam projek perintis KAFA Menengah.

Sejak beroperasi awal tahun ini, sekurang-kurangnya 30 murid berjaya ditempatkan di SRA Sungai Udang dan dijangka akan bertambah daripada semasa ke semasa.

“Walaupun baru tiga minggu sesi persekolah bermula, sambutan yang diterima dengan kehadiran 30 murid ini amat membanggakan.
“Diharap, jumlahnya semakin bertambah untuk kita merancakkan lagi pendidikan Islam di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, KAFA Menengah bukan sahaja mampu membina jati diri murid, bahkan mengatasi masalah sosial yang sering terjadi di waktu senggang.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya mengenakan yuran pengajian RM48 setahun dengan buku pengajian diberikan secara percuma.

Bagi meringgankan beban ibu bapa, JAIS juga tidak menetapkan pakaian seragam khas tetapi murid disyaratkan memakai pakaian sekolah menengah.
-NFN-

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails