Monday, December 09, 2013

Rusuhan Di Little India Amat Serius -Lee Hsien Loong

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (gambar), berkata rusuhan di Little India malam tadi sebagai 'kejadian yang amat serius' dan kerajaan akan menjejaki pelakunya serta mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap mereka.
Polisi Singapura tangkap 27 orang pelaku kerusuhan
"Apa jua kejadian yang mungkin mencetuskan rusuhan itu, tiada sebab untuk mereka melakukan keganasan, kemusnahan dan perlakuan jenayah sedemikian rupa," katanya mengenai rusuhan itu dalam laman Facebooknya awal hari ini.

Beliau berkata, beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat, gambar atau video tentang kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis. Beliau turut mendoakan pegawai polis yang cedera itu segera pulih.
Seramai 10 pegawai polis cedera dan lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa kenderaan persendirian rosak dalam kejadian rusuhan itu yang tercetus selepas berlakunya kemalangan maut di kawasan berkenaan.

Sebanyak 27 orang, semuanya dari Asia Selatan diberkas berikutan kejadian itu. Tiada rakyat Singapura terlibat.

Menurut polis, pada jam 9.23 malam, satu kemalangan maut berlaku melibatkan sebuah bas dan seorang warga India berusia 33 tahun di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire. Sejurus selepas itu rusuhan berlaku melibatkan sekumpulan orang awam kira-kira 400 orang yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera.

Polis menggerakkan anggota Pasukan Khas Operasi dan Kontinjen Gurkha ke tempat kejadian dan berjaya mengawal keadaan. Orang ramai di kawasan itu dinasihatkan agar tidak keluar rumah. Polis turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean dalam satu kenyataan berkata: "Ini satu kejadian serius yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan terhadap harta awam.

"Keadaan kini terkawal. Polis akan bertindak tegas untuk memberkas mereka yang terlibat dalam rusuhan itu," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata: "SCDF dimaklumkan pada jam 9.25 malam mengenai satu kemalangan jalan raya di persimpangan Jalan Race Course dan Tekka Lane.

Sebaik tiba, seorang lelaki didapati terperangkap di bawah sebuah bas. Seorang paramedik SCDF mengesahkan lelaki itu meninggal dunia. Para penyelamat SCDF mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan hidraulik.

Projektil diberikan kepada pasukan penyelamat SCDF ketika mereka mengeluarkan mayat itu. Sebanyak sembilan kenderaan SCDF turut rosak dalam kejadian berkenaan.

Awal hari ini SCDF menghantar 18 orang termasuk empat anggota SCDF ke Hospital Tan Tock Seng.
Kejadian itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Singapura sejak rusuhan kaum pada 1969 selama tujuh hari dan menyebabkan empat mati serta 80 cedera.

Little India merupakan tempat tumpuan popular rakyat asing dari benua kecil India, bersantai pada hujung minggu. - Bernama, 9 Disember, 2013.

Lihat juga..
IKLAN
Daun Stevia Siap Kering & Potong

Daun Stevia Siap Kering & Potong
1 kg = rm 70 tidak termasuk kos penghantaran berminat sila hubungi/sms kami : 014 222 5865 / 011 2302 8768 resourceshmh@gmail.com

1 comment:

Anonymous said...

Di Malaysia lain pula berbeza jenis mabuknya, mabuk kuasa dikalangan pemimpin dan terkini sang isteri pemimpin pula kemabukan, lagi haru.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails