Friday, December 13, 2013

KDN Kemuka 10 ‘Bukti’ Dakwa Mat Sabu Syiah

 Khomeini
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menggariskan 10 maklumat mendakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu cenderung dan terlibat dengan fahaman syiah di Malaysia.
      
Beliau berkata pemimpin nombor dua PAS yang dikenali sebagai 'Mat Sabu' itu didapati menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara ulama Syiah Iran Imam Khomeini melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf Khomeini" dalam ruangan Fikrah, akhbar Harakah halaman 16 pada 5 hingga 15 Julai 2008.

"Selain itu, beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden PAS pada 13 Jun 2011 turut menyatakan kekaguman dengan kepemimpinan dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorak pemikiran beliau," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seorang pemimpin PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.

Abdul Rahim juga berkata Mohamad semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Dis 2008.
      
Kenyataan itu ialah: "Imam Khomeini telah menghantar mesej kepada penganut Kristian melalui siaran agensi-agensi berita. Para penyokong yang mengiringi Khomeini ketika dalam buangan di Neaupe Le Chateau, Perancis menceritakan mereka diminta oleh Imam Khomeini supaya membahagi-bahagikan hadiah kepada penduduk di situ pada Hari Krismas".

 Selain itu Abdul Rahim berkata temuramah dibuat oleh agensi berita 'Antara Pos' dengan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Aidit Ghazali menjelaskan Mohamad merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah.

"Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali," katanya.

 Menurut Abdul Rahim, berdasarkan maklumat Mohamad juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, selatan Thailand pada 2011 untuk mengunjungi pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana.

Menurutnya berdasarkan maklumat, pemimpin PAS itu juga didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011, dan kelas pengajian itu dikendalikan dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di sebuah daripada sekolah agama di Gunung Semanggol.

"Berdasarkan temuramah pegawai KDN Ustaz Zamihan Mat Zin bersama C.N Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 9 Dis 2013 yang menjelaskan Mohamad kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran," kata beliau.

Selain itu menurut temuramah Ustaz Zamihan bersama Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi (tokoh ulama) semalam, Abdul Aziz menjelaskan Mohamad pernah melafaz selawat seperti diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005, kata Abdul Rahim.

 "Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sg Jagung, Pendang, Kedah juga menjelaskan Mohamad merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mohamad menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.

 "Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah," katanya.

Sehubungan itu Abdul Rahim berkata segala fakta dikemukakan jelas menunjukkan pemimpin PAS itu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.

"Secara kesimpulan, Mohamad juga menggesa umat Islam Malaysia mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas berasaskan Syiah.

 "Selain itu keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di dalam atau luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah," kata Abdul Rahim.
            
Selain itu, keterangan daripada rakan-rakan Mohamad yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama turut memperakui kaitan beliau dengan Syiah, katanya.

 Abdul Rahim berkata menerusi maklumat-maklumat yang disampaikan itu, ia jelas menunjukkan KDN dan agensi-agensi kerajaan yang lain sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan dan fahaman Syiah.
Katanya fahaman itu boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuk perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah. - Bernama

Komen Weblog Ibnu Hasyim: PAS menyifatkan pendedahan Kementerian Dalam Negeri kononnya 'bukti' bagi mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan ajaran Syiah sebagai terlalu dangkal. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, bukti-bukti itu bukan sahaja dangkal, malah jauh sekali untuk mengaitkan Mohamad dengan akidah Syiah.

"Melawat Iran contohnya, ramai orang pergi lawat Iran. Saya sendiri beberapa kali pergi ke sana.
"Adakah orang yang pergi melawat China dikira menganut ajaran Komunis?
"Bagaimana pula dengan Umno yang menjalin hubungan kerjasama dengan  Parti Komunis China (CPC), adakah Umno juga Komunis," soal Mustafa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan 'bukti' Mohamad Sabu terlibat ajaran Syiah oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini. Antara lain, Abdul Rahim mendakwa Mohamad pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.

Dakwa beliau lagi, Mohamad juga secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

"Puji khomeini perkara biasa. Saya pun kagum dengan Khomeini sebab pada waktu itu dia selaku ketua negara Islam yang berani berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat.
"Mengkagumi seseorang adakah kita dianggap berakidah sama dengan orang itu?
"Adakah salah untuk kita mengkagumi Nelson Mandela atas ketegasannya menentang apartheid," soal Mustafa lagi.

Menurut Mustafa, beliau melihat pendedahan oleh KDN hari ini tidak lebih dari usaha terdesak pemimpin Umno untuk memburukkan PAS.

"Saya lihat ini langkah terdesak ( Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) untuk mengelak diri dari tuduhan yang dia lemparkan sebelum ini.
"Kita ingatkan bukti yang mahu didedakan ini sesuatu yang kukuh. Tapi kalau macam ini, memang sangat dangkal," katanya lagi.

Tambah Mustafa, Ahmad Zahid seharusnya berhati-hati delam mengeluarkan kenyataan apatah lagi menuduh tanpa bukti yang kukuh.

"Jangan sampai keceluparan beliau itu memakan diri sendiri," katanya. (HD)

MAT SABU DIKATAKAN PENGANUT SYIAH SEBAB DIA KAGUM DENGAN AYATOLLAH KHOMEINI.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menyatakan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu pernah 'berselawat' sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.

Atasi Kegemukan dan Deabetes Dengan Ini.. Stevia Ganti Gula Dalam Makanan Dan Minuman, Untuk Diabetes.

Stevia Ganti Gula Dalam Makanan Dan Minuman, Untuk Diabetes.
HMH STEVIA HERBA
.

1 comment:

Anonymous said...

Zahid dah lama tak layak jadi menteri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails