Wednesday, August 21, 2013

PTPTN Jadikan Pelajar Mangsa Hutang Macam 'ah long' -DAP


 
BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong membantah cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk penyenaraian peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) kerana menyebabkan anak muda menjadi mangsa dasar ekonomi kerajaan pusat.

Menurutnya, mereka yang belum membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN akan berhadapan dengan kesukaran untuk memohon pinjaman dengan bank lain.

“Walaupun secara amnya, mengetatkan syarat kredit merupakan langkah yang baik, namun tindakan kerajaan dalam konteks ini tidak mengambil kira pokok pangkal permasalahan yang ada.

“Anak muda tiada pilihan kerana PTPTN bukan kemewahan atau kemudahan, tapi satu keperluan atau satu kemudahan kepada majoriti anak muda dan keluarga mereka kerana dasar ekonomi berunsurkan kapitalisme kroni yang diamalkan kerajaan pusat menyebabkan rakyat biasa terpinggir daripada kekayaan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berdasarkan statistik penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0), 80% isi rumah di Malaysia berpendapatan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan 40% daripada isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Beliau berkata, keadaan ekonomi isu rumah yang suram bertambah buruk disebabkan dasar kerajaan yang mengkomersialkan sektor pendidikan tinggi di Malaysia.

“Pada hari ini, selain 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), terdapat 365 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang melahirkan kira-kira 200,000 siswazah setiap tahun.
“Jelas, kerajaan membenarkan sektor pendidikan tinggi ditransformasi kepada pasaran untuk mengaut keuntungan tanpa mementingkan kualiti serta kebajikan anak muda Malaysia.
“Dalam keadaan ini, anak muda tiada pilihan dan terpaksa berhutang pada usia muda melalui pinjaman PTPTN bagi membiayai pendidikan tinggi mereka dalam keadaan ekonomi keluarga yang suram.
“Dasar ekonomi kapitalisme kroni menghukum rakyat biasa terutama anak muda, justeru, tindakan kerajaan pusat bagaikan menghukum anak muda yang pada asalnya memang tiada pilihan selain berhutang,” tambahnya.

Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY berkata, dasar kerajaan pusat nampaknya hanya menguntungkan pihak bank dan syarikat swasta seperti pengelola IPTS dan akhirnya anak muda menjadi mangsa ekonomi kapitalisme kroni.

Dalam ucapan Parlimen dan sempena Hari Belia Antarabangsa tahun ini, beliau juga membangkitkan tiga kemelut ekonomi yang terpaksa dihadapi anak muda iaitu..
  • aliran keluar kepakaran atau brain drain, 
  • pengangguran anak muda yang tinggi dan 
  • guna tenaga tidak penuh atau underemployment yang berleluasa.
Katanya, antara faktor menyebabkan kemelut itu termasuk sistem pendidikan berciri komersial yang tidak dapat menyediakan siswazah memasuki bidang pekerjaan dan dasar ekonomi kapitalisme kroni yang mementingkan keuntungan dan bukan kebajikan rakyat.

“Melaksanakan penyenaraian CCRIS, maka anak muda yang keluar bekerja akan menghadapi tekanan hidup yang lebih tinggi, contohnya, disebabkan kegagalan dasar pengangkutan awam kerajaan maka pengangkutan persendirian menjadi satu keperluan asas untuk anak muda terutama untuk berulang-alik ke tempat kerja.
“Melalui tindakan kerajaan mengetatkan syarat kredit untuk anak muda, maka pembelian motosikal atau kereta menjadi satu masalah.
“Saya berpendapat tindakan kerajaan adalah tindakan terburu-buru yang tidak mengambil kira kesan buruk kepada rakyat biasa. Ini merupakan langkah simplistik kerajaan yang bertindak semacam “ah long” memberi tekanan kepada anak muda untuk membayar balik pinjaman PTPTN sedangkan kerajaan sendiri gagal menaikkan ekonomi rakyat biasa termasuk anak muda bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kekayaan negara dengan adil,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang berkata, isu itu akan memberi kesan buruk kepada ramai anak muda, maka Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diminta campur tangan dan menginsafkan rakan beliau dalam Kabinet tentang kesusahan anak muda pada masa kini dan memansuhkan rancangan penyenaraian CCRIS itu.

Beliau juga menyeru kerajaan pusat mengkaji semula dasar mengkomersialkan sektor pendidikan dan mempertimbangkan dasar pendidikan tinggi percuma yang disaran dalam manifesto Pakatan Rakyat. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails