Thursday, August 22, 2013

Husam Dilantik Pengerusi Dua GLC K'tan

Datuk Ahmad Yakub memberitahu Datuk Husam Musa dilantik mempengerusikan dua GLC. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Ogos, 2013.

Oleh ZULKIFLI SULONG DAN ELIZABETH ZACHARIAH

Datuk Husam Musa dilantik menjadi pengerusi kepada dua anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Kelantan iaitu Kelantan Golden Trade (KGT) Sdn Bhd dan Tunjong Development Corporation (TDC) bagi membolehkan beliau terus menyumbang kepada negeri itu.
 
Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub memaklumkan pelantikan Naib Presiden PAS itu bagi menjawab persoalan sebahagian ahli parti di Kelantan yang sebelum ini mempertikaikan mengapa Husam tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri.

"Kedua-dua anak syarikat ini sememangnya menjadi tanggujawab Datuk Husam sebelum ini," kata Ahmad merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu. 

Menurut Ahmad, bukan bidang kuasa kerajaan negeri atau PAS Kelantan untuk menentukan sama ada Naib Presiden PAS itu dilantik atau tidak sebagai Exco kerana ia adalah bidang kuasa pihak lain. Ahmad menegaskan, kerajaan negeri Kelantan dan parti tidak mempunyai masalah dengan Husam.
KGT adalah syarikat yang dibentuk oleh kerajaan negeri untuk menjalankan perniagaan wang emas dinar dan dirham Kelantan di negara ini. Sewaktu bersama kerajaan negeri Kelantan  di bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Husam adalah tulang belakang kepada projek itu.

TDC pula agensi kerajaan negeri dibentuk oleh Kelantan sebelum ini untuk membangunkan Bandar Baru Tunjong yang terletak di atas 2,000 ekar tanah di pinggir bandar Kota Bharu. Ahmad berkata, anak-anak syarikat kerajaan negeri lain akan dipengerusikan oleh pemimpin kerajaan negeri termasuk Exco yang berkaitan dengan portfolio mereka. 

Sehari selepas pilihan raya umum ke 13 (PRU13) rakyat Kelantan dikejutkan dengan tindakan Nik Abdul Aziz yang tidak menyambung jawatannya sebagai menteri besar dan menyerahkannya kepada Ahmad.
Selain itu, Husam tidak dilantik semula dalam kerajaan negeri walaupun sebelum ini adalah seorang Exco kanan.

Husam tewas di kerusi Parlimen Putrajaya tetapi berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor. Beliau menjadi Exco kerajaan negeri Kelantan selama dua penggal sebelum ini bermula pada 2004. - 21 Ogos, 2013. (MI)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails