Friday, July 05, 2013

Mesir-M'sia, Kesamaan Dalam Pencabulan Demokrasi.


Mohammed Morsi a Piazza Tahrir (Ansa)
Mesir Dan pencabulan demokrasi
Ketika artikel ini ditulis saya baru sahaja menjejakkan kaki di tanah air selepas 13 hari berada di tanah suci Makkah.

Berita pilu tragedi demokrasi yang dicabul di Mesir menjadi bahan bualan para jemaah di sana dalam keadaan hiba mengenangkan peristiwa.

Kebetulan di Malaysia pun baru sahaja tamat PRU 13 dan masih terasa sakitnya parut luka robekan demokrasi Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan Mesir.

Sejarah Mesir menyaksikan puluhan tahun demokrasi dicabul dan menyaksikan pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak sejak puluhan tahun yang mewarisi kekebalan dan kebebalan diktator demokrasi Jamal Abdul Nasir.

Ikhwan Muslimin selaku pelopor gerakan Islam dunia selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyah Turki, memilih untuk menyertai jalan demokrasi semenjak sekian lama dan selama itu IM menjadi pembangkang terkuat di dalam parlimen Mesir.

Sesungguhnya demokrasi merupakan ciptaan barat dan para ulama Ikhwan Muslimin sedia maklum tentangnya. Mereka memilih jalan ini atas faktor memilih mudharat yang lebih kecil berbanding jalan revolusi atau mengangkat senjata.

Adakah para ulama Ikhwan takutkan bahaya dan maut? Oh, tidak sama sekali. Mereka bukan takut malah cintakan mati syahid sebagai cita-cita tertinggi.

Sudah ribuan pejuang Ikhwan syahid dibunuh perisik askar Mesir selama ini dan tidak kurang yang meringkuk di dalam jeriji besi. Malah sejarah menyaksikan pengasas Ikhwan, As-Syahid Hassan Al Banna menemui syahid di hujung senapang.

Sebenarnya mereka tidak sekali-kali takutkan maut. Bagi mereka biarlah menentang sekular secara aman sekalipun darah sebagai tukaran dalam masa sama negara aman tanpa mengorbankan rakyat yang tidak bersalah.

Sama halnya dengan Malaysia.

Bukan sahaja pada PRU13 sahaja baru PAS mengetahui demokrasi ciptaan barat dimanipulasi oleh penguasa untuk mengekalkan rejim, sebagaimana Hosni Mubarak memanipulasi SPR Mesir untuk kekal berkuasa, malah sejak PRU pertama lagi para alim ulama pelopor PAS maklum akan hal ini.

Namun ia tidak dijadikan alasan untuk bermudah-mudah menukar medan perjuangan kepada revolusi jalan raya atau mengangkat senjata.

Menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, ada seruan penuh semangat berkobar-kobar menggesa PAS memboikot sebagai tanda protes ditipu.

PAS hormati pandangan tersebut.

Namun mengecewakan apabila ia disusuli dengan ejekan sesetengah pihak yang memperlekehkan PAS mengatakan PAS penakut dan tidak berani.

Tuduhan yang sungguh tidak berasas kerana dalam sejarah politik negara, sudah ramai pejuang-pejuang PAS yang ditangkap, di ISA, dipenjara, dibelasah malah ada yang dibunuh.

Lihat tragedi Memali, peristiwa berdarah Lubuk Merbau, dan tragedi Samad Gul menyaksikan para ulama PAS dan para pejuangnya dibunuh dengan kejam tanpa pembelaan.

Lihat pula era millenium, siapa yang menjadi benteng hadapan siri-siri demonstrasi BERSIH, kalau bukan petugas-petugas pemuda PAS daripada Unit AMAL yang siap sedia dibelasah, dibelantan dan dipukul FRU.

Sesungguhnya kami para pemuda PAS sudah sebati dengan seruan jihad yang menjadi jalan perjuangan kami dan syahid sebagai cita-cita tertinggi kami.

Kami para pemuda PAS tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi murahan.

Kami juga tidak tahan melihat segala penipuan yang berlaku. Kami juga sukar untuk menerima kekalahan disebabkan tipu daya SPR. Kami juga marah dengan putar belit Pengerusi SPR yang menjadi budak suruhan BN. Kami juga tidak rela melihat calon-calon kami kalah dengan cara pembohongan.

Darah muda kami membuak-buak untuk protes di jalan raya. Unit AMAL kami senantiasa bersiap sedia untuk turun berdemonstrasi. Para pemuda jihad kami pun sudah bersiap siaga untuk syahid!

Namun kami ada ulama yang berpandukan Quran dan Sunnah untuk membimbing perjuangan ini.

Andai hari ini Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk berjuang secara revolusi di jalan raya dan tiupan semboyan jihad dibunyikan, nescaya ratusan ribu ahli PAS akan turun dan kami akan berada di saff paling hadapan sebagai benteng pertahanan!

Justeru sekarang ayuh kita rapatkan saff untuk menggempur Umno BN di Kuala Besut.

AllahuAkbar!

Syarhan Humaizi Abdul Halim,
Ketua Pemuda PAS Gombak


Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-75: Dr Mohamed Mursi, Mujahid Akhir Zaman.

E-Buku IH-75: Dr Mohamed Mursi, Mujahid Akhir Zaman. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails