Saturday, July 06, 2013

Kahwin Suka-suka Di Kampung Haram Antarabanga...

 Tiga wanita warga asing bersama bayi masing-masing menunggu giliran untuk diperiksa Imigresen.

Ipoh: Sekumpulan pendatang tanpa izin yang mendiami sebuah perkampungan haram di Klebang di sini, dikesan mengamalkan tradisi kahwin ‘suka-suka’ tanpa perlu bernikah dan mendaftarkan perkahwinan hingga memiliki anak luar nikah.

Kahwin suka-suka

Perbuatan itu dibongkar selepas sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Perak dibantu Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, melakukan serbuan di lokasi yang terletak di Klebang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi itu, seramai 39 warga asing lelaki dan wanita termasuk tiga bayi berusia antara empat bulan hingga dua tahun ditahan dalam ‘Ops Sapu’ yang diadakan di rumah kongsi berkenaan.

Salah seorang daripada wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Sri, 26, yang beragama Islam mengaku memiliki anak luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki keturunan Flores dari Nusa Tenggara, Timur Indonesia. Dia yang berasal dari Medan mendakwa melahirkan bayi lelaki berusia tiga bulan selepas bersekedudukan dan tinggal bersama lelaki terbabit yang dikenalinya sejak dua tahun lalu.  Demikian menurut myMetro.

Foto SEORANG pendatang asing disoal siasat.

Menurut Sinar Harian, rumah mereka mempunyai pembahagian mengikut negara, sebuah lokasi yang dijadikan lubuk penempatan warga asing tidak ubah ibarat sebuah perkampungan antarabangsa. Mereka bukan sahaja menjadikan bekas tapak rumah sementara untuk pekerja pembinaan sebagai lokasi tetap, malah menjalani kehidupan berkeluarga seperti penempatan lain secara rahsia, sejak lebih tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, aktiviti mereka yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh binaan terbongkar apabila lokasi yang menempatkan tiga blok rumah kongsi yang diperbuat daripada papan itu diserbu Jabatan Imigresen Perak sempena Ops Sapu, awal pagi semalam. Tiga blok kediaman itu dikatakan dibahagikan mengikut negara antaranya Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Myanmar, lengkap dengan kemudahan televisyen, bilik mandi untuk dikongsi serta kedai runcit bagi membeli barangan keperluan harian.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Ahmed Syam Che Kub berkata,
 “Kita dapati kebanyakan daripada mereka terus menetap di rumah kongsi ini selepas selesai projek pembinaan rumah, malah ada mengaku sudah tinggal di sini antara dua hingga tiga tahun.
“Mereka juga membahagikan rumah kongsi yang didiami kepada tiga blok mengikut kewarganegaraan masing-masing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam operasi itu, seramai 43 individu diperiksa membabitkan 39 warga asing dari Bangladesh, Vietnam, Indonesia dan Myanmar, penduduk tetap (3) dan warganegara (1), masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun. Selain menahan 11 wanita, tiga kanak-kanak berusia antara 5 bulan hingga 2 tahun turut ditahan.

Minta ambil susu, lampin

Seorang ibu muda sempat meminta izin daripada anggota petugas untuk kembali ke kediamannya mengambil keperluan anaknya yang baru berusia 5 bulan, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, semalam. Seri, 26, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia hanya sempat membawa bersama sehelai kain batik ketika biliknya diserbu.

Dia yang mendiami kawasan itu sejak setahun lalu berkata, pernah tinggal di asrama ketika bekerja di sebuah kilang di Klebang, namun dikeluarkan kerana mengandung.

“Saya ikut kenalan saya dan tinggal di sini sampai melahirkan anak,” katanya.

Kehidupan membesarkan anak turut dikongsi Seri dengan dua lagi rakannya iaitu Lina dan Asrofi. Lina, 24, yang mempunyai anak kecil berusia 2 tahun sudah menetap di kawasna itu selama dua tahun sementara Asrofi, 30, yang kini memiliki anak perempuan berusia setahun sudah mendiami kawasan itu bersama suaminya sejak lebih tiga tahun lalu.

Teringin sekolah tapi…

Membesar dalam suasana persekitaran rumah kongsi sejak kecil menjadikan seorang remaja yang dikenali sebagai Madrawis, 18, kekok untuk bersekolah. Dia yang turut diperiksa dalam operasi, semalam mengakui, tidak pernah mendapatkan pendidikan dari mana-mana sekolah meskipun mempunyai taraf warganegara sejak lahir. Katanya, kedua ibu bapanya yang berasal dari Indonesia memiliki taraf sebagai penduduk tetap turut mendiami kawasan perumahan itu sejak beberapa tahun lalu.(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails