Thursday, July 04, 2013

Cadang Halang Minum Arak.. Syabas Dr. Xavier Jayakumar!


KL: Dewan Pemuda PAS Gombak bersetuju dengan cadangan Adun Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar bahawa perlu satu enakmen undang-undang melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, beliau sangat bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan arak boleh mendatangkan kesan membahayakan khususnya masalah sosial.

"Bukan sahaja peminum, tetapi premis jualan juga perlu dipantau. Penjualan arak murah di 7-elevan dan kedai-kedai runcit juga perlu di halang. Malah paling penting penjualan kepada yang beragama Islam adalah satu kesalahan dan perlu diambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Xavier yang berucap di Dewan Negeri Selangor kelmarin. Xavier memaklumkan, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang merasa terganggu oleh aktiviti minuman keras oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar kawasan awam.

Menurutnya, satu enakmen perlu diwujudkan melarang minuman keras di tempat awam dengan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anggota polis bagi melaksanakan penguatkuasaan. Katanya, penguatkuasaan terhadap permohonan permit juga perlu diambil kira sekiranya terdapat permintaan daripada orang ramai untuk membawa minuman keras di tempat awam sewaktu majlis keraian.

Beliau turut meminta kerajaan negeri supaya menghalang penjualan minuman keras berharga murah yang boleh didapati dengan mudah di kedai runcit atau pasaraya seluruh negeri. Dalam pada itu, Dr Xavier turut mencadangkan supaya kilang-kilang yang menghasilkan minuman keras murah ini dihadkan operasi mereka kepada tiga tahun sahaja.

Mengulas lanjut, Syarhan berharap cadangan ini bukan sahaja diguna pakai di Negeri Selangor, tetapi kerajaan pusat juga turut menyambut baik cadangan ini dan diperluas ke seluruh negeri memandangkan Malaysia adalah negara majoriti Islam.

"Jadi, inilah antara kesan tahalluf siasi PAS-PKR-DAP. Pemimpin bukan Islam mula faham tentang bahaya arak walaupun dalam masa yang sama ada pemimpin Islam yang buat-buat tidak faham. Lebih parah ada yang jadi tauke kilang arak San Miguel.

"Akhir sekali, saya gembira kerana cadangan ini datang dari Adun non-muslim PR," katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails