Sunday, March 03, 2013

Lagi Terkorban Di Semporna. Kiram Masih Berkubu.

Raja Muda Agbimuddin Kiram
KL: Seorang lagi anggota keselamatan negara terkorban, kali ini dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di kampung Selamat, Semporna, Sabah iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu malam tadi.

Menurut sumber polis, pertempuran yang berlaku pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan seorang anggota cedera. Difahamkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Lahad Datu dan Tawau telah digegaskan ke sana bagi memberi bantuan. Difahamkan penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana identiti kedua-dua anggota keselamatan itu belum dikenal pasti. Kelmarin, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban dan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara cedera selepas berlaku insiden tembak-menembak apabila kumpulan penceroboh itu bertembung dengan pasukan keselamatan negara.

Dilaporkan 12 orang daripada kumpulan penceroboh turut terbunuh. Dua yang terkorban ialah ASP Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46. - Bernama
.
Sementara itu, berita dari Manila melaporkan, Raja Muda Agbimuddin Kiram berkata, beliau dan 224 pengikutnya yang masih berkubu di Lahad Datu tidak akan meninggalkan Sabah meskipun pihak berkuasa Malaysia dan Kerajaan Filipina berulang kali menggesa mereka menyerah diri. Dipetik portal Inquirer, Agbimuddin telah memaklumkan pendirian itu dalam mesej yang dihantar kepada abangnya, Sultan Jamalul Kiram III kira-kira jam 5 pagi semalam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails