SHAH ALAM: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk 
Fauzi Shaari akan menyerahkan borang menyertai Pas di kampung 
halamannya, Larut, Perak, hari ini. Lapor Sinar Harian ini.
 
 Difahamkan, beliau akan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden 
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu program yang turut dihadiri 
pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR). Fauzi berkata, beliau telah membuat keputusan menyertainya selepas 
membuat beberapa perbandingan dengan parti lain antaranya, Umno, PKR dan
 DAP.
 
 “Takkan saya hendak menyertai DAP…, saya melihat Pas lebih konsisten 
dalam perjuangan yang membuatkan saya memilih parti Islam itu. Saya 
memilih politik kerana berniat untuk berbakti dalam Islam selepas pencen
 ini, Pas adalah lebih syumul.
 
 “Sekurang-kurangnya, saya boleh memberikan pendedahan kepada Pas apa 
sebenarnya yang berlaku dalam polis, ada juga kebaikan… tetapi tidak 
nampak, sekurang-kurannya akan menjernihkan tafsiran masyarakat kepada 
polis,” katanya kepada Sinar Harian.
 
 Selain Fauzi, difahamkan antara nama-nama yang disebut bakal menyertai 
Pas adalah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,
 Datuk Ramli Yusoff.
 Bagaimanapun beliau pernah menafikannnya.
 
 Ramli yang pernah dituduh di mahkamah berhubung kes rasuahnya, tetapi telah dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Fauzi berkata, walaupun beliau terlibat dalam politik, beliau masih 
berpegang teguh kepada etika dan prinsipnya semasa berkhidmat, bukannya 
akan dipergunakan seperti yang dianggap pihak yang tidak senang dengan 
keputusannya.
 
 “Saya tahu apa yang akan dilakukan dan apa yang tidak boleh. Sebagai 
bekas penjawat awam, saya tahu batasannya, bukan semua akan didedahkan 
pada ceramah-ceramah yang akan disertainya.
 
 “Insya-ALLAH saya gunakan pendekatan berhemah, tak perlulah risaukan penyertaan saya kepada Pas,” katanya.
 
 Fauzi yang ditanya sekiranya akan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum 
ke-13, katanya, “biarlah pucuk pimpinan tentukan, kerana saya masuk Pas 
bukan tujuan dicalonkan tetapi hanya berbakti kepada rakyat."
 
 “Cuma selepas menjadi ahli, sudah tentu saya akan memberikan lebih 
tumpuan kepada parti, jika tidak lebih baik menjadi ahli biasa sahaja 
dan keluar mengundi,” katanya.
 
 Menurut Fauzi, beliau memilih mendaftarkan sebagai ahli Larut kerana kedua ibu bapanya berasal dari kawasan berkenaan.
 
 “Tidak salah saya mencurahkan bakti di kawasan yang saya pernah 
membesar. Cuma dulu semasa dalam kerajaan, saya ada tanggungjawab lain, 
kini dah pencen, jadi boleh lah aktif sikit dalam politik,” katanya. (IH)

 
 

No comments:
Post a Comment