Wednesday, May 25, 2011

Kerjasama PAS/UMNO, Batu Api Kesatuan Mubarak?


KL, 25 Mei 11: Bolehkah dikatakan pandangan ini sebagai batu api untuk meragui dan memecahbelahkan PAS yang ada kaitan dengan bayangan Kerajaan Perpaduan seperti tiupan angin dalam muktamar PAS lalu?

Hal ini berikutan kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), dianggotai pemimpin pro-BN, yang percaya keputusan pemilihan PAS bulan depan akan mempengaruhi dan menentukan masa depan idea kerjasama atau Kerajaan Perpaduan antara Umno dan PAS.

Walaupun tidak mengatakan siapa yang boleh membawa ke arah kerjasama itu, namun Presiden Mubarak Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata peluang kerjasama itu akan lebih cerah jika jawatan timbalan presiden dimenangi penyandangnya Nasharudin Mat Isa atau Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut mengesahkan turun gelanggang.

Selain Nasharudin dan Tuan Ibrahim, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu juga akan bertanding jawatan nombor dua itu. Menurut Presiden Mubarak itu lagi..

“Nasharudin OK, Tuan Ibrahim OK... perspektif berbeza tapi ada kekuatan masing-masing.

“Tetapi saya rasa jauh di lubuk hati kerjasama itu wujud,” kata Abdul Aziz pada sidang media di sini.

Beliau bagaimanapun tidak mahu meramalkan siapa yang menang bagi jawatan itu. “Saya tidak mahu masuk campur, itu terserah kepada PAS untuk menentukannya,” katanya. Mubarak merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri bekas wakil rakyat dan mempunyai keahlian kira-kira 1,000 orang seluruh negara.

Selain Nasharudin, Mohamad dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub. Bagaimanapun Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Husam memutuskan untuk tidak bertanding jawatan nombor dua itu.

Sebentar tadi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyebutkan hanya akan bertanding jawatan ahli jawatankuasa pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan. Setiausaha akhbarnya, Helmi Khalid memberitahu, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menolak bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk memberi tumpuan kepada Kedah.

Kesemua calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum pukul 5 petang esok. (IH).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails