Tuesday, April 26, 2011

2025: Tekad Ahmadiah Qadiani 'Cuci Otak' Rakyat ..

Jalan masuk ke pesantren Tanah Merah 'Pondok Pendidikan Islam Darul 'Ulum

CATATAN PERJALANAN -Medan-Banda Aceh 3.

"SAYA mahu ke pesantren Tanah Merah." kataku kepada seorang penarik beca, semasa berada di bandar Bireuen Aceh Darus Salam, pagi itu.

"Ada dua pesantren di sana, yang mans satu?"

"Yang mudirnya anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen bagi Aceh.)"

Saya pun berangkat dengan beca itu. Berlalu beberapa kilometer, naik bukit turun bukit, melalui sawah dan ladang. Akhirnya, masuk ke kawasan pasentren itu, dan terus ke rumahnya. Dipelawa naik.

"Oh. Tak sangka kita bertemu di sini. Apa khabar Kelantan pimpinan Tok Guru?" Kami berpelukan. "Kenapa tak beritahu dulu?"

"Datang secara kebetulan, tiada perancangan." Jawapku.

Diarahnya beca itu pergi, dibayar wangnya. "Hari saya ada masa, saya hantar ke mana saja mahu perg, tak perlu beca lagii. Atau tidur saja di sini.."

"Terima kasih. Datuk Husam dari Serambi Mekah Kelantan kirim salam kepada ustaz.. Sering bertanya tentang ustaz. Itu antara salah satu sebab saya kemari." Jawabku.

Datuk Husam pernah ke Banda Aceh memperkenalkan sistem 'Dinar Emas Kelantan', tahun lepas. Waktu itu, aku pun turut hadir sama. Ustaz ini antara penghubungnya. Beliau sering disebut-sebut sebagai Tengku Syeikh Mudawali penyambung pesantren ayahnya. Beliau menjadi wakil rakyat (anggotas DPR) negeri Aceh, dan penasihat agama kepada Gabernor Aceh.

"Maaf. Saya baru baik sakit beberapa hari lalu. Sebelum itu saya terlalu sibuk. Antaranya sedang memerangi ajaran sesat Ahmadiah Qadiani Ghulam Ahmad, yang menyerang Indonesia, sekarang. Mereka bertekat untuk 'mencuci otak' seluruh rakyat Indonesia menjelang tahun 2025." Katanya.

Gambar-gambar di bawah ini adalah gambar pesantren Tanah Merah 'Pondok Pendidikan Islam Darul 'Ulum tersebut.
Mari kita lihat sepintas lalu yang dikatakan ajaran sesat Ahmdiah Qadiani Ghulam Ahmad itu. Ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani di India pada tahun 1889. Ajaran ini adalah difatwakan bertentangan dengan ajaran Islam dan terkeluar dari agama Islam sebenar. Ertinya agama ini bukan agama Islam.

Perkataan Ahmadiah adalah disandarkan kepada nama Mirza Ghulam Ahmad sendiri iaitu pengasas ajaran ini. Qadiani atau Kadiani pula adalah diambil dari nama kampung atau kawasan tempat lahirnya Mirza yang terletak di daerah Gurdaspur, India. Ajaran ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia sejak awal abad kedua puluh hingga sekarang.

Pada tahun 1885, Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai reformis (mujaddid). Pada tahun 1891, mendakwa sebagai Imam Mahadi yang ditunggu-tnggu. Kemudian beliau dihasut oleh Nuruddin supaya mendakwa dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan dan ini juga dilakukannya pada tahun 1891. Pada tahun 1901 beliau mengakui dirinya sebagai nabi. Pada 1hb. November 1904, beliau mendakwa dirinya sebagai penjelmaan Krishna unutk orang-orang Hindu di samping sebagai Isa Al-Masih untuk orang-orang Islam dan Kristian.

"Jemaah Ahmadiyah al-Qadiyan masuk ke Indonesia pada tahun 1935 M. Mempunyai sekitar 300 cawangan, terutama di Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Sumatera Barat, Palembang, Bengkulu, Bali, dan lain-lain. Kini, Jemaah Ahmadiyah al-Qadiyan berpusat di Parung, Bogor, Jawa Barat, dengan gedung dan markas yang megah dan dilengkapi dengan peralatan yang canggih, serta perumahan seluas sekitar 15 hektar yang terletak di pinggir jalan raya Jakarta.

"Ahmadiyyah Indonesia juga mempunyai laman sesawang (web) rasminya sendiri, yang melancarkan propaganda dan ceramah secara langsung “khalifah” mereka di London. Selain itu, jumlah pemilikan dana Ahmadiyyah juga sangat besar. Untuk menggaji pegawainya sahaja, Ahmadiyyah mengeluarkan sekitar 60 juta Rupiah (satu juta rupiah kira-kira RM351) setiap bulan. Ahmadiyyah juga setiap bulannya menyebarkan risalah dan buku-buku yang berisi ajaran Ahmadiyyah secara percuma kepada masyarakat." Saya difahamkan.

Prof. K.H. Ibrahim Hasan LML, Rektor IIQ Jakarta mewajibkan kaum Muslimin untuk berjuang membubarkan Ahmadiyyah. Bahkan hampir seluruh ilmuwan Islam ketika itu telah menandatangani kesepakatan agar Ahmadiyyah dibubarkan, kerana telah menodai Al-Qur’an. Peristiwa itu terjadi pada bulan Juni 1995.

Malah, dalam buku “Ahmadiyyah dan Pembajakan Al-Qur’an” karya M.Amin Djamaluddin, disebutkan bahawa kitab “suci” Ahmadiyyah, “Tadzkirah” telah meniru dan mengubahsuai ayat Al-Qur’an sebanyak 132 ayat. Dalam Tazkirah, sang nabi palsu, Mirza Ghulam Ahmad mencampur-adukkan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan bahasa Arab, bahasa Urdu, dan bahasa Parsi.

Di Malaysia pula, kedatangan dipercayai pada awal tahun 1930-an.dan penyebarnya yang pertama dipercayai Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singaoura 15. Melalui pengkalannya di situ beliau menyebarkan ajaran ini. Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd. Sadiq bin Barakatullah pada 22hb. Disember 1949 sebagai wakil penyebarnya di sini.

Kemasukan ajaran Qadiani ke Malaysia ini telah ditentang hebat oleh ulama-ulama Islam. Di Jeram, Selangor ketua Qadiani di situ iaitu Syed Abdul Rahman bin Syed Alwi telah meminta Sultan Selangor mengadakan penyelidikan ke atas ajaran ini pada bulan Mei 1951. Pada 23hb. Julai 1951 satu majlis perbahasan telah diadakan di hadapan baginda di Istana Selangor, Kuala Lumpur. Pihak Qadiani diwakili oleh Mohd Sadiq Barakatullah dan Mohd Zuhdi Fadhli.

Pihak ulama Islam diwakili oleh Sheikh Mahmud Zuhdi dan ulama-ulama di Pejabat Agama Islam Negeri Selangor. Keputusan perbincangan ialah bahawa golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai golongan Islam malah terkeluar dari Islam. Sejak berlakunya dialog antara Ketua Ahmadiah/Qadiani dengan ulama-ulama tempatan yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor dalam tahun 1951 itu, ajaran ini menjadi makin lemah dan tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar dikenali.

Lebih-lebih lagi kerana ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam yang sebenar. Dengan demikian, ianya tidak dapat berkembang ke seluruh negara, cuma hidup di tempat yang ia telah lahir sebelum itu. Antara tempat-tempat di Selangor yang terdapat penganut-penganut ajaran ini ialah Jeram, Sungai Tua, Sungai Buloh, dan Kampung Nakhoda. Di Jeram, ada kira-kira 40 orang pengikut (lelaki dan perempuan). Terdapat tanah perkuburan mereka sendiri yang diberi oleh Pegawai Daerah Inggeris pada tahun 1954, seluas kira-kira dua ekar.

Di Sungai Tua, terdapat kira-kira 20 orang pengikut. Pengikut Ahmadiah/Qadiani dari Melaka berkumpul di situ. Di Sungai Buloh pula, terdapat sebuah surau Ahmadiah / Qadiani yang berharga kira-kira RM1600 . Di surau yang dibina daripada derma pengikut-pengikut ajaran itu. Manakala di Kampung Nakhoda, dikatakan pengikutnya di sini masih kuat berpegang ajaran ini. Mereka terdiri daripada kira-kira lima keluarga. Terdapat sebuah ‘masjid’ Qadiani yang digunakan untuk mereka sahaja.

Di negeri-negeri lain di Malaysia, selain dari Selangor, terdapat juga pengikut ajaran ini. Tiap-tiap pengikutnya dikehendaki mengeluarkan 1/16 daripada pendapatan harian mereka kepada tabung kumpulan ini.

Lanjutnya, sila lihat rujukan ini..
  • “Ajaran Qadiani (Ahmadiah/Qadiniah)”, terdapat di http://www.jais.gov.my/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=109, diakses pada 20 November 2009.
  • “Mengapa Ahmadiyyah Sesat dan Menyesatkan?”, terdapat di http://hambaallahswt.multiply.com/journal/item/197, diakses pada 20 November 2009.
  • Mustaffa Suhaimi, “Bahaya ajaran sesat Qadiani, dan hubungannya dengan Inggeris”, Majalah Al-Islam, Januari 2004/Zulkaedah 1424, Bil 358, Kuala Lumpur, Utusan Karya Sdn. Bhd., muka surat 26-28.
  • “Pokok-Pokok Ajaran Ahmadiyah al-Qadiyan”, terdapat di
  • http://yapono.wordpress.com/2008/06/29/pokok-pokok-ajaran-ahmadiyah-al-qadiyan/, diakses pada 19 November 2009.
  • “Risalah Ajaran Ahmadiah/Qadiani”, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Oktober 2008.
  • Ibnu Hasyim: Sesatnya Ajaran Ahmadiyah..
Sebab itulah sahabatku Tengku Syeikh Mudawali bersungguh-sungguh berusaha menangani masalah ini bagi negeri Aceh. Akhirnya beliau membawa saya menemui kawan-kawan lain lagi berbincang mengenai isu-isu semasa. Gambar di bawah, pertemuan di sebelah malamnya, disebuah gerai di tepi pantai.

Gambar bawah (atas), dari kanan seorang penulis buku-buku sejarah Aceh Tengku Ghazali Abdullah dan Ibnu Hasyim. Yang berjubah ialah Tengku Syeikh Mudawali.

Gambar bawah (bawah), dari kanan Tengku Mansur Din seorang peniaga, Syed Jaya, penyanyi rock sebelum tsunami yang banyak merakam lagu daerah Aceh, Tengku Syeikh Mudawali, Mudir sebuah pasentren di Lhoksuemawi dan penduduk tempatan.
Sekian bersambung...

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

Bireuen Aceh Darus Salam
26 Apr 11.

Lihat siri catatan perjalanan Medan-Banda Aceh sebelum ini..

1 comment:

Anonymous said...

Ahmadiya merupakan satu organisasi Islam. Objektif Ahmadiya adalah mengembalikan ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang di ajarkan dalam quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails